KUALA LUMPUR, 6 Mei (Hrkh) - Kerajaan sewajarnya menyegerakan masalah pengangguran pekerja Malaysia yang terlalu ramai yang memberi impak negatif terhadap keadaan sosial, dan kualiti hidup rakyat Malaysia.
Gesaan tersebut dibuat Wanita KeADILan agar Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak segera mewujudkan Tabung Pemberhentian Pekerja sebagai bantuan kepada para pekerja yang telah kehilangan punca pendapatan.
Ketuanya, Zuraida Kamaruddin menegaskan kenyataan untuk mewujudkan Tabung Pemberhentian Pekerja itu telah berulangkali disuarakan dan didesak oleh Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat, khususnya menerusi Kaukas Eksploitasi Pekerja yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid.
Jelas Zuraida, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sejak isu pemberhentian pekerja telah membuka hotline bagi memberikan ruang kepada para pekerja yang kesempitan hidup untuk mendapatkan bantuan.
Tindakan tersebut katanya wajar dicontohi oleh Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi masalah pengangguran yang mencecah angka ratusan ribu dan masih meningkat.
"Keadaan yang sedang melanda pekerja di Malaysia bukanlah sesuatu yang tiba dengan sekonyong-konyong. Ramai pakar, khususnya Pengerusi Kaukas Eksploitasi Pekerja di peringkat Parlimen telah memberikan amaran dan cadangan-cadangan yang praktikal, dan jika diikuti mampu mempertahankan keadaan ekonomi dan keadaan keluarga para pekerja dengan lebih baik dari apa yang sedang berlaku kini.
"Dalam keadaan ekonomi yang meleset, wanita adalah golongan yang paling terkesan kerana sebahagian besar daripada mereka merupakan nadi dalam pengurusan hal-ehwal dan kesejahteraan keluarga. Sebarang kemeruduman ekonomi akan mengakibatkan tekanan luar biasa terhadap kemampuan setiap keluarga untuk meneruskan kehidupan harian dan memenuhi keperluan keluarga masing-masing,"tegasnya dalam kenyataanya kepada Harakah.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang menggesa agar Najib mengenepikan sebarang jurang, termasuk perbezaan politik dalam mencari penyelesaian segera dan lebih mampan dalam menangani krisis ekonomi dan masalah pengangguran yang kritikal.
Beliau juga mengharapkan penyelesaian jangka panjang dan bukan retorik perlu mendapat perhatian sewajarnya dalam memberikan harapan untuk kehidupan masa depan rakyat Malaysia. - mks. _
0 comments:
Post a Comment