Arkib Blog

Wednesday, March 16, 2011

Zaid Sekutu Perkasa Kata Nik Nazmi


PETALING JAYA 16 MAC: Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan kenyataan Presiden Parti Kesejahteraan Tanah Air atau KITA yang meminta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sampel DNA kepada mahkamah sebagai jahil dalam melunaskan dendamnya terhadap Anwar.

Malah Nik Nazmi menganggap Zaid sebagai mengikut amalan Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), yang ditentangnya selama ini ketika bersama PKR.

"Pendirian Anwar dan Pakatan Rakyat terhadap kes ini adalah jelas: pertuduhan yang dikemukakan adalah konspirasi yang bertujuan untuk membunuh karier politik beliau.

"Dalam tempoh singkat Zaid bersama KEADILAN, beliau giat menegakkan pendirian yang sama, namun pada hari ini beliau nampaknya sudah terlupa," tegas Nik Nazmi dalam kenyataan medianya hari ini.

Zaid semalam dalam portal The Malaysian Insider menyarankan Anwar menyerahkan sampel DNA dalam kes liwat yang dihadapinya sekarang dengan alasan ia akan membantu Ketua Pembangkang Parlimen itu membuktikan yang beliau tidak bersalah, sekali gus menaikkan kredibilitinya.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Namun menurut Nik Nazmi, Zaid, yang sebelum ini turut mempersoalkan ketelusan sistem kehakiman Malaysia terutamanya dalam isu Krisis Kehakiman 1988 mempertahankan tindakan Anwar bagi menghalang sampel itu disalahgunakan pihak tertentu yang mendalangi kes ini.

"Penolakan tersebut menghalang pasukan pembelaan dan mahkamah untuk menilai kesahihan ujian DNA tersebut secara bebas. Penolakan ini hanya mengukuhkan pandangan bahawa pihak pendakwaan mempunyai sesuatu untuk diselindungkan dalam apa yang dikatakan ujian DNA itu.

"Atas sebab itu, adalah suatu penghinaan kepada prinsip keadilan untuk Anwar memberikan sampel DNA untuk membantu pendakwaan mengesahkan keputusan yang menimbulkan syak dan direka-reka," kata Nik Nazmi lagi.

Jelas Nik Nazmi, kes ini juga dilihat penuh dengan pelbagai percanggahan dan kelemahan dan sepatutnya di buang dan mahu Zaid yang juga seorang peguam
terkenal menilai sendiri fakta yang telah dikemukakan sepanjang perbicaraan ini.

Beliau memberi contoh betapa isu DNA misteri dalam dubur Saiful, serta percanggahan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap Saiful sebagai bukti betapa pelbagai pertanyaan perlu dijawab sebelum kes ini dihakimi.

"Laporan perubatan awal di Pusrawi dan Hospital Kuala Lumpur menyatakan bahawa tiada penetrasi pada dubur Saiful. Jelas sekali bahawa pihak pendakwa memerlukan DNA Anwar untuk berada di dalam Saiful untuk membuktikan tuduhan mereka.

"Memandangkan kes mereka kini sudah punah, kejayaan kini diukur dengan menjatuhkan pandangan awam terhadap moral Anwar walaupun sekiranya mahkamah mendapati beliau tidak bersalah," kata beliau.

Sumber: Malaysiakini

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009