Arkib Blog

Wednesday, March 16, 2011

Kerajaan Nafi Hak Mengundi Warganegara Di Luar Negara


KUALA LUMPUR 16 MAC : Kerajaan pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) tidak berhasrat untuk mengembalikan hak mengundi kepada warganegara Malaysia yang bermastautin di luar negara dengan kerelaan.

Justeru kerajaan beranggapan, tindakan membenarkan undi pos kepada mereka hanya membazirkan wang negara terhadap golongan ini atas alasan mereka telah hilang kepercayaan terhadap negara Malaysia.

Menjawab soalan ahli parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan mengenai perkembangan hak mengundi rakyat Malaysia di luar negara menjelang Pilihanraya Umum ke 13 nanti, Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberi alasan bahawa semangat perlembagaan memperuntukkan pemilih layak mengundi, untuk berada di dalam negara ketika proses pengundian.

Malah ujar Datuk Seri Nazri Aziz, kerajaan hanya membenarkan pelajar-pelajar dan pegawai kerajaan yang terpaksa menetap di luar negara menggunakan sistem undi pos.

Sehubungan dengan itu, kerajaan tidak akan mengambil sebarang inisiatif mengembalikan hak mengundi kepada golongan ini sekaligus menolak pendekatan 'Malaysian Overseas Right To Vote'.

Dalam pada itu ahli parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh yang mencelah turut mempersoal kesetiaan warganegara Malaysia yang menetap di luar negara untuk mencari sumber pendapatan.

"Kalau mereka tidak setia kepada negara, kenapa mahu beri hak mengundi. Kalau mereka dilayan, habis wang negara," katanya.

Fong bangun menyatakan kenyataan tersebut tidak bertanggungjawab dengan mengenepikan hak rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran kemudian berkata prinsip yang dipegang kerajaan tidak menghormati hak asas setiap rakyat di negara ini.
"Ada hak dari segi undang-undang asalkan mereka warganegara Malaysia, ini tidak hormat hak mereka," jelas Kulasegaran.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009