SHAH ALAM 21 FEB : Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yasin kepada rakyat Sarawak baru-baru ini menampakkan beliau telah hilang punca akan cara terbaik untuk modal kempen sempena pilihan raya negeri Sarawak dengan menjadikan Selangor sasaran dan modal untuk menakut-nakutkan rakyat Sarawak, kata Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Husin.
Faekah dalam surat terbukanya berkata Muhyiddin sepatutnya lebih mendengar rintihan rakyat Sarawak yang ditekan secara berterusan oleh pemimpin diktator tidak kurang dari 30 tahun lamanya. Muhyiddin sepatutnya cuba meyakinkan rakyat Sarawak bahawa BN di bawah pimpinannya akan mampu menyelesaikan tanah adat yang menjadi isu utama sejak beberapa dekad lalu.
"Muhyiddin sepatutnya berusaha supaya rakyat Sarawak percaya yang Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud tidak akan lagi memimpin Sarawak. Sekurang-kurangnya Muhyiddin sepatutnya mampu menunjukkan kepada Taib Mahmud bahawa beliau adalah liabiliti kepada BN Sarawak dan berundur. Di sini kegagalan nyata Muhyiddin.
Telah menjadi rahsia umum Taib Mahmud adalah bebanan besar yang perlu ditanggung BN Sarawak yang akan turut merentap kejatuhan Putrajaya. Selaku Timbalan Pengerusi BN pusat, Muhyiddin hilang punca di Sarawak. Demi melindungi kegagalan beliau dan kelemahan pentadbiran pusat menangani isu kekebalan Taib Mahmud, Selangor pula dijadikan sasaran," katanya.
"Untuk pengetahuan Muhyiddin ketika beliau sibuk melawat Sarawak; dan cuba memberi gula-gula basi BN, sekumpulan rakyat Miri yang bosan dengan penipuan telah datang ke pejabat KEADILAN di Petaling Jaya dengan membawakan memorandum rakyat Miri berkenaan tanah adat yang telah puluhan tahun dimanipulasi pemerintah Sarawak. Meskipun Timbalan Perdana Menteri berada di Sarawak namun warga Ulu Niah NCR Oil Palm Project telah memilih menemui KEADILAN kerana mereka tahu Muhyidin tidak mampu menyuarakan hasrat mereka di depan Taib Mahmud dan pihak-pihak terlibat, " ujar Faekah lagi.
Tambah Faekah, dua kali pilihan raya telah berlalu sejak projek ini bermula, namun nasib mereka tetap sama. Tanah adat seluas 3,800 ekar tidak tahu khabar berita; ditakuti hilang begitu sahaja. Sebaliknya dalam pertemuan dengan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta beberapa pimpinan KEADILAN telah memberi jaminan bahawa terdapat penyelesaian terbaik untuk masalah tersebut.
Jelas Muhyiddin ternyata lemah dan tidak mempunyai kekuatan politik untuk menyelesaikan kemelut pemerintahan Sarawak sekaligus menangani masalah tanah adat di Sarawak. Menjadikan Selangor sebagai sasaran bertujuan menutup kelemahan beliau namun apa yang berlaku adalah sebaliknya; semakin menyerlahkan lagi kegagalan kepemimpinan beliau.
"Rakyat Selangor sebaliknya melihat bagaimana kerajaan PR berhempas pulas memperbaiki sistem yang rosak dan harta benda rakyat Selangor yang selama 52 tahun dirobek pemerintahan BN. Puluhan ribu ekar tanah rakyat Selangor dibolot dan diagih sesama mereka dan kroni; akibatnya puluhan ribu rakyat menderita tertipu," kata Faekah.
Sumber: TVSNEWS
0 comments:
Post a Comment