SHAH ALAM 11 Okt - Dasar kenderaan tamat hayat (ELV) dalam Bajet 2011 akan memberi impak negatif dan merupakan malapetaka kepada rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail berkata dasar itu sekaligus membuktikan keputusan kerajaan sebelum ini untuk mengeluarkan kereta buatannya sendiri adalah salah.
Menurut beliau, di antara negara ASEAN, Malaysia merupakan negara tunggal mengeluar dan memasang keretanya sendiri.
"Saya yakin dasar ini hanya untuk menyelamatkan industri automotif negara yang kini mencapai peringkat ketepuan. Dari segi kualiti berbanding kereta buatan luar negara, kita masih lagi ketinggalan dan disebabkan tidak laku di pasaran tempatan maka isu kereta lama yang dikatakan tidak selamat dan tidak mesra alam dijadikan alasan.
"Tambah lagi kerajaan baru-baru ini telah menandatangani dasar terbuka liberisasi untuk menghapuskan dasar perlindungan yang diamalkan Malaysia dan ini termasuk pasaran industri automotif. Maka untuk menyelamatkan Proton kerajaan memperkenalkan ELV supaya kereta lama dapat dilupuskan," jelas beliau kepada Suara Keadilan.
Apa yang membimbangkan kata Azan, kini terdapat 13 juta kenderaan persendirian dan 6 juta kenderaan perdagangan tetapi maklumat dan data mengenainya tidak diurus dengan baik dan ini tentu akan menyukarkan keadaan.
Beliau turut mengingatkan kesan terhadap rakyat yang berpendapatan sederhana jika dasar ini dilaksanakan.
"Ini tentunya akan menyusahkan rakyat terutamanya mereka langsung tidak mempunyai aset, sudahlah kereta yang dibeli dihutang sehingga 9 tahun, belum sempat habis hutang, terpaksa dilupuskan. Ini tentunya mendatangkan kesusahan kepada mereka.
"Kerajaan Umno-Barisan Nasional setiap kali memperkenalkan dasar baru, ianya hanya mengundang malapetaka kepada rakyat.
"Kerajaan Umno-BN langsung tidak mempedulikan rakyat, mereka hanya menjaga kepentingan kroni mereka sahaja," ujar beliau.
Tambahnya lagi, dasar itu juga dikaitkan dengan tujuan untuk memberikan keuntungan pihak tertentu kerana menurutnya industri melupuskan kenderaan memberikan pendapatan lumayan.
"Cadangan dasar ini nampaknya seperti memberikan peluang kepada kroni mereka untuk membuka empayar perniagaan yang baru. Saya yakin jika ianya dilaksanakan, akan berlakunya kejutan kepada rakyat Malaysia," kata Azan lagi.
Sebelum itu, Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Bhd, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata dasar ELV itu memberi impak segera terhadap keseluruhan ekosistem seperti yang dilaksanakan menerusi pakej rangsangan setahun yang lalu.
Alasannya, kenderaan lama perlu ditamatkan hayatnya apabila jumlah industri automotif mencapai peringkat ketepuan.
Beliau turut membuat perbandingan dengan negara seperti Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Indonesia.
Katanya, ELV membabitkan kereta dan trak ringan yang dianggap sampah dan perlu dilupuskan.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment