KOTA BHARU 20 Sept - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tugas yang digalas oleh ulama dan wartawan adalah sama, apa yang membezakan katanya terdapat golongan yang jahat yang dikenali sebagai wartawan upahan manakala ulama pula pula dikenali sebagai ulama palsu dan mereka inilah yang merosakkan masyarakat.
Dalam majlis meraikan para petugas media bertempat di salah sebuah hotel di sini Sabtu lalu beliau menegaskan tugas yang dipikul oleh kedua-dua golongan ini sama berat dan bakal dipersoalkan di akhirat nanti.
"Wartawan menggunakan tulisan dan ulama pula melalui ceramah, mengajar maupun menyertai politik dan wartawan bergerak selari dengan golongan ulama iaitu menyampaikan apa yang disebut oleh ulama dan sekiranya penyampaiannya salah, masyarakat yang akan menerima kesannya.
“Ulama lahir semenjak zaman Nabi manakala wartawan lahir di zaman Eropah dan ada yang mengatakan dari China, namun tugas dua golongan ini adalah sama dan golongan ini akan dipersoalkan di akhirat nanti akan setiap perbuatan dan penulisan yang mereka lakukan di dunia ini” ujar Menteri Besar.
Nik Abdul Aziz turut melahirkan harapannya agar wartawan masa kini dapat membuat keputusan sendiri dalam membuat laporan berita dan dalam konteks negara Malaysia kerana kebanyakan media arus perdana tidak melaporkan perkara yang sebenar terutamanya apabila berkaitan dua kumpulan besar iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.
“Kita lihat di negara kita kini, media arus perdana begitu takut untuk melaporkan perkara sebenar, oleh itu saya rasa wartawan yang hadir malam ni kena fikir balik dan jangan lagi duduk dalam akhbar yang bersekongkol dengan pemimpin yang rasuah dan politik dunia semata-mata,” ujar beliau lagi.
Di majlis tersebut juga Menteri Besar membuat perbandingan dua akhbar arus perdana di mana ada yang hanya menyiarkan berita dari pihak kerajaan pusat sahaja dan satu lagi menyiarkan bagi kedua-dua pihak dan rakyat Kelantan kini semakin kurang memilih akhbar yang hanya berpihak kepada satu pihak sahaja.
Semasa sesi dialog dibuka, antara persoalan yang dibangkitkan wakil media adalah mengapa akhbar arus perdana yang seolah-olah dipinggirkan dalam program Menteri Besar dan kesukaran mendapat maklumat tepat dari pihak kerajaan negeri dalam pelbagai isu.
Nik Abdul Aziz dalam jawapannya berkata mereka bukannya dipinggirkan tetapi mereka sendiri yang menjauhkan diri dari berhadapan dengan kenyataan yang sebenar.
“Saya tahu wartawan ni pada hakikatnya menulis apa yang dilihat sendiri tetapi maklumlah bila kerja dengan akhbar milik Pusat, apa yang dibuat oleh kita serba tak kena dan memberikan kesusahan untuk mereka melaporkan perkara sebenar.
"Saya rasa cukuplah kerja dengan mereka itu, saya nasihatkan supaya buatlah kerja secara jujur kerana di akhirat kita akan dipersoalkan kelak,” kata beliau lagi.
Majlis dialog bersama Menteri Besar Kelantan itu dihadiri seramai 30 wartawan dari pelbagai jenis media.
Turut hadir termasuk Pengarah Urusetia Penerangan Abdul Rahman Yunus, Pengarah Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Zainiah Abdul Halim, Pengarah Tabung Tok Kenali Mohd Khir Zahari, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ladang Rakyat Dr Nazmi Ghazali Azmi dan Ketua Pengelola Halaqat Negeri, Abdullah Razak.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment