AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Monday, September 20, 2010

Rayuan Anwar Gugur Fitnah 2 Ditolak


PUTRAJAYA 20 Sept - Permohonan rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan tuduhan fitnah 2 ke atasnya berdasarkan dakwaan bahawa Timbalan Pendakwaraya (DPP), Farah Azlina Latif mempunyai hubungan intim dengan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan ditolak Mahkamah Rayuan pagi tadi.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Ahmad Maarop. Manakala dua lagi hakim ialah Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Ma'ah Azhar.

Bagaimanapun, peguam Ketua Umum KEADILAN itu, Karpal Singh berkata dalam sidang media selepas itu, pihaknya akan memfailkan notis untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan esok pagi.

Beliau juga menganggap keputusan tersebut merupakan berat sebelah kerana pihak pembelaan sama sekali tidak dibenar mengemukakan hujah malah tiada sebarang penjelasan dibuat mahkamah berhubung mengapa rayuan Anwar itu ditolak.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Anwar melahirkan rasa kesalnya kerana ruang untuknya mendapatkan pembelaan telah dinafikan tanpa penjelasan yang kukuh.

"Kita kesal dengan keputusan ini iaitu keputusan yang tidak berlandaskan fakta undang-undang, keputusan itu dibuat dan diberikan berdasarkan beberapa kes bagi memperkukuhkan hujah tanpa apa-apa penjelasan.

"Kemudian ia bercanggah dengan kenyataan termasuk oleh pendakwaraya, kalau dia menang tak boleh rayu, tetapi kalau kita menang boleh rayu dan mahkamah terima hujah itu.

"Yang kita minta ialah ruang untuk kita kemukakan hujah. Itupun dinafikan, jadi kita akan buat rayuan di Mahkamah Persekutuan," katanya.

Anwar juga menyifatkan pihak terbabit yang bertanggungjawab mempercepatkan perjalanan kes itu sebagai jahil berkaitan undang-undang.

"Orang yang menggesa menyegerakan kes ini adalah jahil sama sekali tentang proses undang-undang dan jaminan keadilan dalam negara ini," tegas beliau.

Terdahulu, Hakim Ahmad memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwa berhujah bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan tersebut kerana perbicaraan sedang berjalan.

Beliau berkata, bidang kuasa mahkamah ditentukan oleh Seksyen 50 (1) Akta Mahkamah Kehakiman, sama ada ia boleh mendengar dan menentukan sebarang rayuan ketika perbicaraan sedang berjalan.

Pada 16 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah telah menolak permohonan Karpal untuk menggugurkan tuduhan fitnah 2 terhadap Anwar selepas memutuskan bahawa dakwaan hubungan Farah-Saiful tidak menjejaskan kes pendakwa terhadap ketua pembangkang itu.

Dengan memetik beberapa kes, Ahmad turut berkata keputusan Mahkamah Tinggi tidak merupakan satu keputusan sebagaimana dimaksud dalam Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman.

Oleh itu, katanya, mereka tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan tersebut dan seterusnya menolak rayuan Anwar itu.

Perkara ini sepatutnya didengar pada minggu lepas tetapi telah ditangguhkan sehingga hari ini berikutan permohonan pihak pendakwaan berhubung isu penghakiman.

Pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Ketua Pendakwaraya Negara II Mohamed Yusof Zainal Abiden telah membangkitkan bantahan awal dengan berkata Anwar tidak mempunyai hak untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Ini kerana perintah yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamad Zabidin Mohd Diah bukan perintah muktamad.


Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009