SHAH ALAM 20 Sept - Kecekapan pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan susulan terhadap kes jenayah tertentu dilihat seperti hanya menumpukan kepada kes berprofil tinggi sahaja manakala banyak kes lain dibiar begitu sahaja.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata ini berikutan terdapat empat laporan polis awal yang dikaitkan dengan suspek pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya sejak Januari lalu tetapi tiada tindakan serius diambil pada masa itu.
"Pertama, saya ingin menegaskan tindakan polis patut dipuji di dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati kerana kita dapat lihat betapa cepat dan lancar polis bertindak sejak mendapat laporan kehilangan beliau bermula dengan proses mencari bukti hinggalah kepada penangkapan suspek.
"Tetapi pada masa yang sama polis gagal mengambil tindakan terhadap empat laporan terdahulu yang diantaranya kehilangan seorang peniaga warga India yang dikaitkan secara langsung dengan suspek kes ini. Tindakan polis yang tidak konsisten ini menimbulkan tanda tanya," tegas Khalid.
Kata beliau, sebelum ini tiada laporan berita langsung mengenai kewujudan empat laporan tersebut sehinggalah kes pembunuhan jutawan kosmetik itu digembar-gemburkan oleh media yang menunjukkan seolah-olah pihak polis cekap dan tepat.
"Ya, tindakan polis bagus dalam kes ini tetapi adakah tindakan kali ini hanya kerana kes ini berprofil tinggi? Apakah polis memilih kes berdasarkan profil yang menyebabkan tiada tindakan atau siasatan dibuat ke atas kes-kes kehilangan sebelum ini kerana mangsanya adalah individu yang tidak dikenali umum dan tiada hubungan politik?" tanya beliau.
Tambah beliau, sekiranya polis menggunakan sumber dan tenaga dengan menumpukan perhatian dalam menyelesaikan kes terdahulu yang difailkan terhadap suspek, sudah pasti suspek tersebut tiada peluang untuk melakukan jenayah lagi.
Khalid seterusnya berkata memandangkan suspek yang merupakan seorang peguam dan didakwa mempunyai hubungan rapat beberapa ahli politik MIC, tentu wujudnya kemungkinan suspek telah menggunakan hubungan politik tersebut untuk melepas atau mengelakkan diri beliau daripada disiasat polis.
Jelas beliau, situasi ini mengguatkan lagi isu yang didedahkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa campurtangan pihak luar sememangnya mengekang tugas polis.
Khalid berkata campurtangan politik jelas dilihat semasa siasatan kes fitnah pertama terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana polis terpaksa menyiasat dengan mengusung tilam ke lokasi saban hari yang telah menjadi bahan ketawa rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa sedangkan pada hakikatnya tiada kes langsung untuk disiasat.
"Dalam siasatan kes Anwar dahulu, polis seolah-olah telah memperbodohkan diri sendiri dengan tindakan mereka dan ini bukan kerana kelemahan di pihak polis tetapi disebabkan campurtangan politik.
"Dalam erti kata lain, pihak polis boleh bertindak cekap jika tiada campurtangan pihak luar dan pada masa yang sama, polis tidak dapat berbuat apa-apa tanpa arahan ataupun jika dihalang oleh pihak luar yang mempunyai kepentingan," tegas Khalid lagi.
Katanya, keadaan ini membuktikan perlunya satu institusi kepolisan yang bebas tanpa pengaruh mana-mana pihak samada politik mahupun korporat, dan melayan semua aduan yang diterima secara adil dan saksama bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi polis.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment