AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Saturday, September 25, 2010

Shamsul Mahu SPRM Tubuh JK Khas Siasat IPD Banting


PUTRAJAYA 25 Sept - Ketua Angkatan Muda KEADILAN , Shamsul Iskandar Mohd Akin mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan jawatankuas khas bagi menyiasat sepenuhnya kemungkinan wujud elemen penyelewengan serta rasuah di Ibu Pejabat Polis Daerah Banting berhubung empat laporan polis yang kini dikaitkan dengan suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga rakannya.

Shamsul yang juga seorang peguam kanan berkata SPRM perlu membuat siasatan rapi dan mendalam untuk membongkar apa yang sebenarnya berlaku di kawasan pembunuhan di Ladang Gadong, Banting dan mengapa empat laporan terdahulu mengenai kehilangan beberapa individu tidak disiasat.

Bercakap kepada media di perkarangan Ibu Pejabat SPRM di sini semalam setelah memberi keterangan dan menyerahkan bukti berhubung dakwaannya yang mengaitkan pihak polis dengan kes pembunuhan Sosilawati, Shamsul berkata beliau berbuat demikian bagi menuntut SPRM menjalankan siasatan menyeluruh dan telus untuk menentukan jika kes tersebut berkait dengan unsur rasuah dan penyelewengan.

"Kita membuat keputusan untuk mengemukakan satu laporan di dalam bentuk maklumat awal berkaitan perkembangan terkini kes pembunuhan Datuk Sosilawati di Banting dan mangsa-mangsa yang dilaporkan hilang.

"Kami membuat laporan ini kerana merasakan rakyat umumnya dan khususnya di kawasan Banting dan Selangor merasa gelisah dan resah di atas pendedahan media saban hari yang menunjukkan bahawa sebenarnya kes pembunuhan Datuk Sosilawati ini bukannya kes yang pertama.

"Jadi mereka harus siasat dengan berani kerana ini membabitkan kes kepentingan awam," kata beliau.

Shamsul tiba di Ibu Pejabat SPRM pada pukul 3.20 petang dan selesai memberi keterangan kepada dua pegawai SPRM, Hazrul Syazrin Abdul Yazid dan Shahrul Naim Mohd Amin sejam kemudian.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai bukti yang diserahkan kepada SPRM sebaliknya mengulangi pendiriannya yang bersedia memberi kerjasama kepada polis mahupun SPRM .

"Saya telah meminta dan mengemukakan beberapa maklumat dan bukti yang kita ada kepada pasukan penyiasat SPRM dan saya telah berikan keterangan dan kerjasama yang sepenuhnya kerana kita mahu supaya satu siasatan diadakan secara telus dilakukan.

"SPRM perlu menyiasat apa yang sebenarnya berlaku di sana (kawasan kejadian) dan kita tidak boleh berdiam diri kerana setakat ini kematian yang dilaporkan baru empat orang (mangsa), mungkin lebih kita tidak tahu.

"Pembunuhan kes yang cukup tragis ini adalah kes yang sebenarnya sebelum ini telahpun berlaku akan tetapi tiada siasatan yang menyeluruh dilakukan dan ada beberapa kes yang telahpun ditutup juga beberapa kes yang dianggap atau diklasifikasikan sebagai kes hilang tetapi dibuka semula kerana dengan perkembangan terkini kes pembunuhan," tegas Shamsul lagi.

Beliau turut menafikan polis pernah menghubunginya supaya tampil memberi keterangan berhubung dakwaannya itu.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa kononnya saya telah dimaklumkan tentang perkara tersebut. Saya tidak tahu menahu apa-apa mengenai perkara itu melainkan melalui media dan sepatutnya saya dimaklumkan mengikut saluran undang-undang yang betul.

"Apatah lagi saya sebagai pengamal undang-undang dan rakyat Malaysia yang faham undang-undang negara ingin mengambil tindakan tidak mengikut saluran undang-undang," jawab beliau.

Tambahnya, jika polis ingin memanggil beliau untuk memberi keterangan maka pihak terbabit perlu menggunakan prosedur undang-undang seperti yang termaktub dalam Kanun Acara Jenayah.

"Saya telah nyatakan pendirian saya bahawa dari segi undang-undang, kita berminat kepada keadilan. Saya tidak mahu kita kemukakan satu kaedah siasatan yang baru iaitu penyiasatan kepada media.

"Ini bukan siasatan kepada media, kalau dia (polis) bercadang untuk memanggil maka saya bersedia untuk memberikan keterangan dan hari ini saya bersedia, saya datang kepada SPRM tetapi perlulah dipatuhi prosedur undang-undang sepertimana yang termaktub di dalam Kanun Acara Jenayah.

"Dan janganlah kita didik rakyat untuk pergi ke balai memberi keterangan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), facebook atau telefon bimbit," katanya.

Dalam pada itu Shamsul turut menasihatkan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar memberi fokus kepada tanggungjawab sebenar beliau.

"Saya mahu ingatkan kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha untuk membasmi jenayah dan bukan untuk menyerang saya saban hari di dalam media," katanya.

Rabu lepas, polis memberi amaran bahawa waran tangkap akan dikeluarkan terhadap Shamsul jika beliau terus mengelakkan diri daripada memberi keterangan berhubung dakwaannya itu.

Hadir sama memberi sokongan, Timbalan AMK, Fariz Musa dan beberapa anggota AMK serta bekas pengerusi Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak Malaysia), Mohd Nazree Mohd Yunus.


Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009