AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Wednesday, July 14, 2010

Selangor Keluar Kertas Putih Isu Talam, Tanah Hujung Tahun


SHAH ALAM 14 Julai - Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor akan mengeluarkan kertas putih yang mengandungi kajian dan bukti bagaimana tanah kerajaan negeri telah diberikan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak tidak bertanggungjawab kepada syarikat tertentu di bawah pentadbiran Umno-Barisan Nasional.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kertas putih itu juga mengandungi laporan berkaitan kutipan hutang berjumlah RM392 juta daripada syarikat Kumpulan Talam Corporation.

Bagi menjamin ketelusan dalam setiap transaksi, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri akan turut mengumumkan kutipan hutang Talam secara berperingkat dari masa ke semasa.

"Hujung tahun ini kertas putih tersebut akan dikeluarkan untuk dibincangkan dalam Dewan supaya ia jadi pengajaran kepada pegawai kerajaan dalam membuat justifikasi pemberian tanah dan kontrak.

"Saya memang menunggu permintaan tersebut (kertas putih) sebab saya nak tulis satu kes lagi macam mana tanah ini diberi sewenang-wenangnya kepada individu tertentu.

"Kertas putih yang akan dikeluarkan sudah mendapat persetujuan daripada Kumpulan Talam. Sekarang kita sedang kumpul fakta berhubung perjanjian tersebut," katanya menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Jaras, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam.

Bagaimanapun, menurut Menteri Besar, beliau memerlukan masa untuk meneliti keputusan yang dibuat oleh Exco Selangor berkaitan tanah yang diberikan kepada Kumpulan Talam sebelum ini bagi tujuan kertas putih tersebut.

"Saya dapati banyak yang dinyatakan tidak ditulis dengan baik. Keputusan Exco (sebelum ini) agak terlalu longgar, dipersetujui untuk diberi kepada individu tertentu tetapi sebabnya tak ada," jelas beliau.

Abdul Khalid berkata berhubung isu Talam kerajaan negeri mendapati banyak kelemahan seperti keputusan mesyuarat Exco memberikan kontrak kepada syarikat tertentu tanpa dinyatakan sebab syarikat itu mendapat kontrak.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga telah menandatangani perjanjian dengan Talam untuk membolehkan kerajaan negeri menuntut hutang-hutang lain yang diragui yang tidak termasuk dalam jumlah RM392 juta tersebut.

Katanya, usaha kerajaan negeri mengutip semula hutang Talam ini telah mendorong syarikat lain tampil membayar hutang kepada Menteri Besar Diperbadankan (MBI).

"Syarikat-syarikat ini tidak mahu hutang mereka dengan kerajaan negeri dibincangkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor," katanya.

Tambah beliau, Jabatan Audit Negara akan dijemput untuk mengaudit akaun yang terlibat dalam pengambil alihan hutang Talam.

Menjawab pertanyaan lisan ADUN Teratai, Janice Lee berhubung hasil yang diperolehi kerajaan negeri daripada Talam, Abdul Khalid berkata, setakat ini kerajaan negeri telah berjaya mendapatkan kutipan aset tanah berjumlah RM290 juta sementara dalam bentuk tunai pula sebanyak RM50 juta.

"Hutang berkenaan kini berada di bawah seliaan Menteri Besar Incorporated," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri telahpun menerima kutipan berjumlah RM57.88 juta bagi penyelesaian dalam bentuk tunai yang diterima daripada hasil jualan sekaligus bermakna aset terbabit bebas daripada hutang bank.

Menurut Abdul Khalid, aset tersebut membabitkan 400 ekar tanah Ulu Yam bernilai RM18 juta, saham di Ulu Yam Golf Resort RM4.2 juta, 12 ekar tanah di Puncak Jalil RM12 juta, lima unit ruang pejabat Menara Pandan RM11 juta, tunai yang telah diasingkan RM5 juta dan pulangan daripada kerja tanah PISSB RM7.68 juta.

Sementara harta lain yang turut diperolehi kerajaan negeri daripada Talam merangkumi tanah seluas 25.94 ekar di Bukit Beruntung yang bernilai RM16.9 juta.

Selepas ditolak pinjaman bank oleh Talam berjumlah RM795 juta, kerajaan negeri mendapat RM9 juta yang mana tanah tersebut telah dibeli oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri juga sedang dalam proses mengutip hasil jualan tanah termasuk di Bestari Jaya, Bukit Beruntung 2 dan Danau Putra.

Katanya, tanah tersebut pada asalnya adalah tanah kerajaan negeri yang telah diberikan kepada syarikat swasta.

"Sebagai contoh, tanah di Bestari Jaya yang diberikan kontrak kepada Talam untuk membina Unisel bernilai lebih RM600 juta. Kemudian kerajaan negeri terdahulu telah memberi kontrak pembinaan Unisel ini kepada syarikat kroni," katanya.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009