AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Wednesday, July 14, 2010

Keluarga Azamuddin Minta Polis Jangan Tekan Remaja, Bersikap Profesional


SHAH ALAM 14 Julai - Azamuddin Omar, saksi utama kes remaja 14 tahun yang ditembak mati polis Aminulrasyid Amzah, didakwa telah 'ditekan' oleh pihak berkuasa semasa sesi kawad cam sehingga remaja tersebut gagal untuk melakukan pengecaman.

Malah beliau mendakwa telah dimarahi pihak polis kerana dikatakan melengah-lengahkan tugasan mereka.

"Saya tidak puas hati dengan cara dan kaedah polis yang memaksa adik saya membuat kawad cam. Apa guna saya melantik peguam, jika beliau (peguam) tak dibenarkan untuk bersama-sama saksi? Mana perginya slogan 'Mesra, Cepat dan Betul'?

"Mereka lakukan (kendalikan kawad cam) itu seolah-olah adik saya ini seorang suspek. Sedangkan, dia hanyalah saksi," kata abangnya Muhamad Hafizzudin dalam sidang media di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Shah Alam, petang semalam.

Hafizzudin menjelaskan beliau telah dimaklumkan oleh pegawai yang mengendalikan kes, Inspektor Shanmugam bahawa sesi pengecaman tersebut akan diadakan pada jam 4 petang.

Namun, apabila beliau tiba di IPD Shah Alam, sesi tersebut telah berakhir.

"Persoalannya, apakah kewajaran untuk mengadakan proses kawad cam tersebut, sedangkan pihak polis telah mengenalpasti suspek yang dikatakan melepaskan tembakan," kata Hafizzudin yang berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Undang-Undang Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah ibu saudara Azamuddin, Mainon Ismail, kakak Aminulrasyid, Nor Azura Amzah dan seorang wakil PIBG sekolah, Monaliza Moktar.

Minggu lalu, Monaliza menemani Azamuddin ke balai polis tersebut berikutan pihak peguam tidak sempat hadir kerana hanya dimaklumkan pada saat akhir.

Monaliza turut memaklumkan beliau ada terdengar pihak polis memarahi Azamuddin ketika sesi tersebut dijalankan, namun beliau kemudiannya diminta untuk menenangkan Azamuddin yang sukar untuk membuat pengecaman.

Azamuddin memaklumkan kepadanya dia tidak dapat melihat (muka suspek) kerana kejadian itu berlaku pada waktu malam.

"Beliau tidak bersalah langsung. Kes ini tidak ada kena mengena dengan keluarganya, kerana setiap kali siasatan dijalankan, keluarganya akan berasa tertekan. Saya hanya membantu bagi pihak sekolah, dan ibu Azamuddin turut meminta kepada saya untuk memantau pergerakan anaknya disekolah," katanya.

Sementara itu, ibu saudara Azamuddin, Mainon Ismail meminta pihak polis agar memberikan cukup masa kepada anak saudaranya untuk bersedia sekiranya dipanggil untuk membantu siasatan.

Beliau menjelaskan, sebagai remaja yang belum lagi matang, Azamuddin memerlukan bimbingan dari pihak peguam untuk membimbingnya dalam prosedur siasatan dan tidak dibiarkan bersendirian.

"Saya harap pihak berkenaan tidak 'menekan' Azamuddin dan keluarganya. Beliau masih bersekolah dan akan menghadapi peperiksaan besar (Penilaian Menengah Rendah) pada hujung tahun ini," rayu Mainon.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009