KUALA LUMPUR 17 Julai - Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Datuk Ambiga Sreenevasan memberi amaran serangan sistematik kerajaan terhadap pihak pembangkang dan musuh politik mereka secara umum akan mengganggu sistem demokrasi, kestabilan politik dan kestabilan ekonomi negara.
"Apa yang ingin kita tegaskan adalah, serangan terbaru terhadap media parti pembangkang dan dakwaan terhadap beberapa individu dan pimpinan dari Pakatan Rakyat, dengan menyalahgunakan jentera awam oleh pihak kerajaan semenjak 2008 adalah tidak selaras bagi menuju pilihan raya yang bebas dan adil," kata Ambiga dalam satu kenyataan media semalam.
Beliau menjelaskan, rakyat Malaysia merasakan percubaan untuk menyingkir kehadiran pelbagai partipolitik yang mendapat perhatian ramai selepas pilihan raya umum 2008 akan menyebabkan negara menjadi huru-hara, menggusarkan keyakinan pelabur dan memberi kesan buruk kepada pertumbuhan ekonomi.
Bersih 2.0 menekankan sebagai kerajaan yang demokratik dan yakin dengan kewibawaannya seharusnya menghormati setiap undi warganegara sekalipun mempunyai pelbagai pandangan yang berbeza.
Apatah lagi sekiranya Malaysia dianggap antara negara di dunia yang menyokong agenda hak asasi manusia dengan keahlian negara ini ke dalam Majlis Hak Asasi Manusia.
"Ketiga-tiga organ media utama pihak pembangkang, iaitu Suara Keadilan, Rocket dan Harakah menghadapi kemungkinan untuk diberhentikan operasinya. Sebelum ini, hasil kerja pelukis kartun politik, Zunar juga diharamkan," kata Ambiga.
Beliau berpendapat semua tindakan tersebut seolah menghalang pilihan yang dilakukan oleh rakyat dalam pilihan raya lalu, di mana semua akbar arus perdana dan saluran televisyen dikawal ketat kerajaan melalui saringan mahupun 'censorship'.
Bersih 2.0 berkata rakyat amat terkejut, apabila semenjak 2008, pihak pembangkang ditekan dengan pelbagai cara.
Antaranya, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim terpaksa melalui perbicaraan Fitnah II, kematian misteri pembantu ahli politik, Teoh Beng Hock, semasa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama 11 jam sehinggalah kepada penahanan Badrul Hishanm Shaharin, seorang ahli politik di bawah Akta Hasutan.
"Bersih 2.0 ingin mengingatkan rakyat Malaysia tidak lagi mudah untuk ditipu dan dicucuk hidungnya. Banyak lagi yang boleh dicapai oleh kerajaan untuk negara ini, sekiranya mereka berpegang kepada kedaulatan undang-undang serta prinsip demokrasi.
"Kerajaan sepatutnya mengambil iktibar dari ungkapan pejuang demokrasi Myanmar, Aung Sang Suu Kyi. "Bukan kuasa yang musnah, tetapi kerana rasa takut. Takut kehilangan kuasa, akan merosakkan mereka yang salah menggunakannya".
"Sekiranya perkara sebegini berterusan, satu kesimpulan boleh dirumuskan bahawa kita sebenarnya tiada beza dengan negara-negara lain yang tidak percaya kepada sistem demokrasi, sekalipun seperti apa yang kita banggakan di pentas antarabangsa.
Seluruh rakyat Malaysia yang patriotik mestilah dengan segera menghentikan tindakan ini," kata Ambiga lagi.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment