AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Saturday, July 17, 2010

AUKU Kekang Kebebasan, Wujudkan Budaya Senyap Di Kalangan Mahasiswa


KUALA LUMPUR 17 Julai - Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sekali lagi menjadi perhatian umum apabila empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia bakal dikenakan tindakan disiplin di bawah AUKU kerana didakwa melibatkan diri dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor.

"AUKU jelas melanggar hak asasi manusia di Malaysia. Ini adalah kerana perlembagaan memberikan hak penglibatan politik kepada semua warga negara yang berumur 21 tahun ke atas untuk mengundi. Maka, ini turut membuktikan bahawa perlembagaan turut mengakui mahasiswa mempunyai hak untuk turut terlibat dalam politik," kata Yap Heng Lung, setiausaha Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia Malaysia.

Beliau berucap dalam forum 'AUKU dan Hak Mahasiswa' di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Wilayah Persekutuan, malam Khamis lepas.

Selain Heng Lung, dua orang ahli panel lain yang turut dijemput bagi membentangkan kertas kerja berkenaan isu berkaitan adalah Shazni Munir, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Hilman Idham, Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).

Forum tersebut dipengerusikan oleh Fahmi Reza, pengarah filem dan penyelidik gerakan mahasiswa di Malaysia.

Sebelum ini, Fahmi Reza turut dikenali di kalangan aktivis seni dan hak asasi berikutan kejayaannya menerbitkan sebuah filem mengenai sisi lain berkenaan kemerdekaan Malaysia bertajuk '10 Tahun Sebelum Merdeka'.

Kira-kira 30 orang hadir dalam forum tersebut yang turut disertai oleh kumpulan pelajar dari Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Forum tersebut turut menggunakan projektor bagi paparan imej persembahan (slide presentation) bagi memudahkan audien memahami dengan lebih mengenai fakta yang ingin disampaikan.

Sementara itu, Shazni Munir dalam sesi soal jawab menegaskan sama ada AUKU wujud atau pun dimansuhkan, ia tidak akan memberi kesan mutlak kepada kebebasan dan sikap mahasiswa dalam menangani isu-isu sama ada di dalam atau pun di luar kampus.

Baginya, apa yang penting adalah mahasiswa itu sendiri yang perlu pro aktif dan bergerak menjadi juara dalam menangani setiap isu yang melanda negara.

"Sewaktu konvensyen mahasiswa yang dianjurkan di Dewan Sivik, Petaling Jaya tahun lalu, kita telah pun mengangkat deklarasi mahasiswa kepada masyarakat dan juga kerajaan. Jadi, persoalan sama ada berkenaan AUKU ini menjadi penghalang kepada aktiviti mahasiswa telah lama berlalu. Pokoknya sama ada mahu (bergerak) atau pun tidak," jelas Munir.

Terdahulu sebelum itu, Hilman Idham yang merupakan salah seorang dari pelajar yang didakwa atas kes 'UKM4' berpandangan bahawa, AUKU telah membentuk pembudayaan mahasiswa yang gagal untuk belajar bagi membuat keputusan sendiri. Ini adalah kerana kepatuhan yang keterlaluan telah menumpulkan daya kreativiti mahasiswa dan membentuk sikap kebergantungan kepada pihak pihak tertentu.

"Ia membahayakan kita, kerana pemimpin negara yang akan datang ini akan terdiri daripada mereka yang 'baru mahu belajar membuat keputusan'. Jika mereka memimpin negara, maka kita semua ini akan dijadikan bahan ujikaji, kerana waktu itu adalah masa dimana dia 'baru mahu belajar membuat keputusan'" jelas Hilman.

Siri ceramah umum tersebut yang dianjurkan dengan kerjasama Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Wilayah Persekutuan telah pun bermula sejak 1 Julai lalu.

Sehingga kini, tiga siri ceramah umum berkenaan AUKU telah pun diadakan dan bakal berakhir pada 24 Julai di Cafe House of Art and Ideas di Petaling Jaya.

Program dalam siri terakhir tersebut bakal menampilkan tiga orang panelis dari tiga generasi mahasiswa yang berbeza iaitu Hishamuddin Rais, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Hilman Idham.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009