KUALA LUMPUR 12 Mei - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 15 Jun untuk mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyaman Menteri Luar Datuk Anifah Aman sebanyak RM100 juta bagi meminda saman fitnah dan pernyataan tuntutan.
Penolong Kanan Pendaftar Noordura Mohamed Din menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan kehadiran peguam Wan Anuar Wan Shahadat yang mewakili Anwar, Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh mewakili Menteri Luar dan kerajaan sebagai defendan kedua dan ketiga, dan peguam K. Vasanthi mewakili Anifah untuk kapasiti peribadi.
Pada 7 April lepas, Anwar dibenarkan meminda pernyataan tuntutannya bagi menyebut secara khusus nama Menteri Luar Datuk Anifah Aman sebagai defendan.
Pada mulanya, Anwar menamakan Anifah atas kedudukan peribadinya sebagai defendan pertama, Menteri Luar sebagai defendan kedua dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga.
Dengan pindaan itu, Anifah dinamakan atas kedudukan rasmi beliau sebagai Menteri Luar.
Isu berhubung siapa yang patut dinamakan sebagai defendan dalam saman itu timbul apabila Amarjeet, yang mewakili Menteri Luar dan kerajaan (defendan ketiga) mengemukakan permohonan mereka untuk mengetepikan saman itu.
Amarjeet Singh berkata Anwar perlu memilih siapa yang beliau ingin namakan selaku defendan dalam kes saman itu memandangkan defendan pertama (Anifah) dan defendan kedua (Menteri Luar) adalah orang yang sama.
Pada 27 Mei 2009, Anwar memfailkan saman terhadap Anifah berhubung kenyataan beliau dalam satu sidang akhbar di Washington, pada 16 Mei, 2009.
Anwar menuntut sejumlah RM100 juta dalam ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan injunksi bagi menahan defendan daripada terus melafaz, menulis atau menerbitkan perkataan fitnah itu.
Anwar mendakwa Anifah, dalam sidang akhbar bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton di Jabatan Negara Amerika Syarikat di Washington, membuat kenyataan bahawa Anwar ada menawarkan jawatan timbalan perdana menteri kepadanya sekiranya pembangkang menubuhkan kerajaan pada 16 Sept 2008.
Anwar juga mendakwa Anifah menfitnahnya dengan menyatakan beliau sedang membuat cubaan untuk membeli Anggota Parlimen dan memburukkan imej negara.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment