KUALA LUMPUR 12 Mei - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengutuk sekerasnya kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, SAC II, Huzir Mohamed yang mengugut akan mengenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada parti-parti politik yang menimbulkan isu penggunaan nama Allah dalam kempen pilihan raya kecil parlimen di Sibu.
Menurut Penyelaras GMI, E Nalini, hal itu tidak seharusnya berlaku kerana perbicangan mengenai pelbagai isu perlu dibenarkan bagi menggalakkan pemahaman lebih mendalam terhadap sesuatu isu dalam sebuah negara demokrasi.
"Kami dengan kuat mengutuk maksud untuk menggunakan ISA dalam hal ini. ISA memang bukan penyelesaian untuk sebarang perkara melibatkan isu-isu sensitif di Malaysia.
"Perbincangan-perbincangan pada apa-apa isu harus dibenarkan supaya menggalakkan fahaman yang lebih mendalam dan toleransi antara pelbagai bangsa dan latarbelakang agama, bukan sebaliknya dengan menggunakan akta drakonian ISA untuk menentang sesiapa," ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, GMI yakin sesuatu isu kontroversi boleh ditangani dan diselesaikan dengan mengadakan dialog atau perbicangan secara terbuka dalam sesebuah masyarakat bertamadun dan bukannya dengan ugutan untuk melaksanakan akta bersifat keganasan, seperti penggunaan ISA.
"GMI mengulangi bahawa ISA bercanggah dengan prinsip keadilan hak asasi manusia, terutama hak untuk diandaikan tidak bersalah sebelum terbukti bersalah, hak untuk mendapat perbicaraan adil dan terbuka, hak untuk mendapat khidmat peguam dan hak untuk bebas daripada sebarang bentuk penderaan.
"ISA tidak dapat dipertahankan dan tidak dapat dijustifikasikan dalam sebarang keadaan dan patut dihapuskan segera," tambah beliau.
Justeru, GMI menggesa pihak berkuasa Malaysia terutama Polis untuk melaksanakan semua nilai tersebut dan memulihkan kebebasan peribadi terhadap orang ramai.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment