AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Saturday, May 1, 2010

Enam Ditahan Polis Bantah GST


KUALA LUMPUR 1 Mei - Enam orang ditahan dalam perhimpunan membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sempena sambutan Hari Pekerja Sedunia yang diadakan di Dataran Merdeka hari ini.

Lebih 500 peserta menyertai perhimpunan sejak awal jam 11 pagi tadi.

Enam yang ditahan dikenali sebagai Murugan, Barthi, Rajan, Shanmugan, Ganesan dan Mohan dan mereka merupakan aktivis pekerja.

Pihak polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang mengepung Dataran Merdeka bertindak menghalang peserta daripada berhimpun.

Penyelaras program S Arutchelvan dan ADUN Kota Damansara Dr Nasir Hashim - kedua-duanya daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) - pada mulanya cuba berbincang dengan pihak polis supaya membenarkan kumpulan tersebut berkumpul.

Mereka melaungkan slogan 'Hidup Rakyat', 'Mansuh GST' dan 'Hari Pekerja Hari Kita".

Turut hadir dalam perhimpunan tersebut termasuk enam pemerhati daripada Majlis Peguam Malaysia.

Mereka kemudiannya mengedar risalah anti-GST di sekitar Jalan Petaling dan selepas itu menuju ke Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dan menjadikan bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai tujuan akhir mereka.

Peguam terkenal, Harris Ibrahim ketika ditemui Suara Keadilan menyifatkan penahanan dan gangguan terhadap program ini sangat mendukacitakan. Beliau mempersoalkan tindakan pihak polis yang melakukan provokasi dan menangkap peserta himpunan aman yang tidak melakukan sebarang kekacauan.

"Pekerja merupakan tulang belakang ekonomi negara, tetapi kenapa ketika mereka ingin merayakan hari mereka, polis mengganggu dengan melakukan tindakan yang tidak munasabah. Sedang ada pihak lain yang dibenarkan berhimpun dan berdemonstrasi, walaupun sehingga di depan balai polis?" soalnya.

Beliau berpendapat sebagai sebuah negara yang ingin mencapai status negara maju, pihak kerajaan wajib mendengar tuntutan, hasrat dan pandangan kaum pekerja. Setiap rakyat yang bekerja di negara mestilah diraikan, dan hari ini adalah hari mereka.

Peserta kemudian menurunkan tandatangan mereka di atas kain rentang anti-GST dan seterusnya membaca deklarasi hari buruh secara beramai-ramai dan seterusnya bersurai secara aman.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009