Arkib Blog

Sunday, March 7, 2010

Pengundi Melayu Mula Beralih Kepada PR


KLEBANG 7 Mac - Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Melaka melakukan perubahan segera dengan mengambil inisiatif menjadi ahli sama ada KEADILAN, PAS atau DAP seterusnya menyokong Pakatan Rakyat agar perubahan landskap politik negara yang baru dapat diwujudkan.

Ini kerana tanpa sebarang perubahan yang jelas rakyat akan terus dihimpit dengan masalah kritikal seperti kemiskinan, ketidakadilan ekonomi, penyelewengan dan rasuah yang dibawa oleh Umno-Barisan Nasional selama mereka pentadbir Malaysia sejak 52 tahun.

Malah Anwar dan para pemimpin Pakatan Rakyat menguatkan iltizam perjuangan dan tidak gentar menghadapi jentera Umno-BN kerana yakin negara perlukan perubahan secara total.

Bagi membawa perubahan ini, rakyat perlu bangkit dengan memberi sokongan dan bantuan kepada Pakatan Rakyat bagi merealisasi harapan dan aspirasi baru bagi Malaysia.

"Kita nak bawa perubahan, siapa yang nak tentukan? Jawapannya rakyat. Apa yang saya minta agar anda semua menjadi ahli dalam mana-mana parti Pakatan Rakyat.

"Jangan cakap sahaja, lakukan perubahan sekarang. Jika tidak boleh bagi RM10 bagi RM5, jika tak boleh RM5 bagi RM1, jika tak bantu bagaimana mahu lakukan perubahan?" kata beliau ketika berucap kepada lebih 7,000 rakyat di Pulau Gadong, Klebang Melaka Jumaat lalu.

Sebelum itu, beliau sempat meluangkan masa memberi ceramah ringkas di Markas PAS di kilometer 16, Serkam Pulai.

Sementara itu, Anwar turut menyatakan keyakinannya bahawa Umno-BN akan musnah apabila melihat sokongan masyarakat Melayu di negeri-negeri yang masih dikuasai mereka kian luntur dan merosot.

Jelas Ketua Pembangkang itu walaupun KEADILAN disibukkan dengan isu lompat parti oleh beberapa Ahli Parlimen parti itu namun beliau tetap yakin dan berpegang teguh bahawa masa depan cerah negara adalah bersama Pakatan Rakyat.

"Lepas dua tiga orang lompat, mai puluh ribu datang kepada kita. Saya yakin untuk melawan Umno-BN" katanya lagi.

Tambah beliau lagi, kini semakin jelas pengundi-pengundi Melayu di beberapa daerah di bawah Umno-BN sudah beralih arah untuk menyokong Pakatan Rakyat.

"Selama ini Umno-BN cukup gah mengatakan pengundi-pengundi Melayu di kawasan itu dikuasai mereka. Namun sebaliknya berlaku apabila menerusi ceramah di kawasan kubu kuat Umno-BN seperti di Pokok Sena, Jeniang, Jerantut, Segambut kita lihat sokongan kepada Pakatan Rakyat semakin meningkat." kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Ujar beliau lagi, pengundi Melayu kini bukan mudah untuk diperbodohkan dan hanya menerima segala akses maklumat yang dilaporkan oleh media milik Umno-BN.

Mereka kini lebih terdedah dengan maklumat yang luas dan sahih dan bukan hanya membaca akhbar Utusan Malaysia semata-mata.

Malah melalui KEADILAN, gerakan secara berterusan dilakukan melalui Angkatan Muda KEADILAN, Wanita KEADILAN yang giat dan aktif turun padang untuk memberikan maklumat semasa dan menyedarkan pengundi Melayu khususnya.

"Jangan ingat orang Melayu hanya baca Utusan semata-mata? Anak-anak mereka ada di Kuala Lumpur, mereka boleh dapatkan maklumat yang lebih luas bukan macam dulu." katanya lagi.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009