PETALING JAYA 7 Mac - Tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim; Nibong Tebal Tan Tee Beng dan Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri keluar parti berkemungkinan adanya konspirasi jahat menggunakan imbuhan wang yang ditawarkan Umno-Barisan Nasional.
Ketua Penerangan KEADILAN Latheefa Koya mendakwa beberapa individu hartawan tertentu digunakan untuk 'memancing' ahli Parlimen KEADILAN dan membantu melangsaikan beban kewangan yang ditanggung Ahli Parlimen terbabit.
Mengambil contoh krisis di Perak yang menjadi kes jelas manipulasi kewangan, Latheefa berkata rancangan ini merupakan sebahagian daripada rancangan jahat BN untuk menghalang hasrat rakyat dan menghancurkan KEADILAN.
"Jelas tindakan pelompat ini didorong oleh imbuhan kewangan. Ini kerana kejadian Ahli Parlimen mengisytiharkan mereka hilang keyakinan kepada parti dan mahu membina "barisan bebas" bukanlah suatu hal yang boleh terjadi secara tiba-tiba," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan penglibatan bekas Setiausaha Agung KEADILAN, Salehuddin Hashim, yang memainkan peranan penting dalam mengatur konspirasi pelompatan parti itu.
Latheefa berkata Salehuddin yang juga keluar parti didakwa bertanggungjawab memanipulasi Ahli Parlimen yang lemah dan tidak teguh iman perjuangannya, untuk digoda masuk ke dalam perangkap BN.
"Kehadiran Salehuddin pada beberapa sidang akhbar pelompat parti adalah tidak mengejutkan. Selepas peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Agung KEADILAN, Salehuddin aktif menjalin hubungan dengan pemimpin BN termasuklah Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah.
"Salehuddin sendiri mendedahkan perkara ini kepada beberapa pemimpin KEADILAN, mengakui dia menemui Najib dan Rosmah dua hari sebelum sambutan Tahun Baru Cina.
"Cukup meragukan, aneh dan ganjil buat seseorang yang pernah memegang jawatan kanan dalam KEADILAN tiba-tiba menyatakan bahawa dia kini yakin dengan BN dan pemimpinnya.
"Dia akan terus memutar belitkan cerita bahawa dia kecewa dengan parti dan menyebarkan cerita pembohongan dan separuh benar, biarpun hakikat sebenarnya hanyalah godaan rakus wang ringgit," katanya.
Walaupun mengakui KEADILAN tidak mampu bersaing dengan BN dari segi pemberian imbuhan kewangan, Latheefa berkata parti itu tetap berpendirian teguh dengan prinsipnya untuk memerdekakan diri daripada sistem yang rasuah, tidak adil dan menindas ke arah sistem pentadbiran yang bersih dan demokratik.
Beliau menegaskan meskipun BN dan Salehuddin meneruskan kempen ganas ini, Pakatan Rakyat dan KEADILAN akan tetap teguh dan tidak gentar dengan tindakan sebegini.
"Ini merupakan cubaan BN untuk merosak dan menghancurkan KEADILAN yang menjadi ancaman sebenar BN. Semenjak pilihan raya umum dan pilihan raya kecil berikutnya, BN tewas banyak kerusi kepada KEADILAN hasil sokongan penduduk berbilang kaum.
"Namun KEADILAN yakin bahawa pelompatan politik ini akan hanya membuatkan kami lebih kuat lagi," ujar beliau lagi.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment