KUALA LUMPUR 5 Mac - Kemelut MCA yang semakin memuncak dengan perletakan jawatan dua pertiga ahli jawatankuasa pusat MCA semalam memberi petanda bahawa parti itu kini berada di ambang era kegelapan.
Pengarah Strategi KEADILAN Tian Chua berkata perkara itu jelas berikutan kegagalan hala tuju MCA menyelesaikan konflik kepimpinan dalamannya yang melanda sejak tahun lalu.
Beliau berkata kemelut ini juga menguatkan lagi indikasi MCA kini kehilangan sokongan majoriti masyarakat Cina dan harapan untuk meraih semula sokongan juga semakin pudar.
"MCA kini semakin tidak relevan dengan prinsip perjuangan asalnya untuk kepentingan masyarakat Cina.
"Perbalahan tiga penjuru antara Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dengan Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk mencipta semula imej MCA dalam usaha meraih sokongan masyarakat Cina juga nampaknya gagal, malah bertambah buruk," kata Ahli Parlimen Batu itu ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau juga berkata cubaan Barisan Nasional untuk menyembunyikan keretakan dalam parti komponennya sendiri dengan mengalih tumpuan rakyat dan mengganggu pendirian pemimpin Pakatan Rakyat kebelakangan ini juga nampaknya gagal apabila konflik dalaman krisis MCA itu kini tidak boleh disembunyikan lagi.
"Walaupun BN cuba memanipulasi kelemahan pemimpin Pakatan Rakyat yang bermasalah dan kurang berkualiti dengan mencipta keadaan seolah-olah kita mengalami krisis, tapi sebaliknya yang berlaku seperti kita lihat perpecahan yang dialami antara parti komponen BN itu yang kini lebih parah dan sokongan rakyat sudah beralih kepada Pakatan Rakyat," katanya.
Ditanya jika krisis MCA ini ada kaitan dengan cubaan Umno-BN untuk menyingkirkan Tee Keat yang sebelum ini dikaitkan dengan skandal penyelewengan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Tian Chua berkata beliau tidak menolak kemungkinan itu kerana perletakan jawatan itu sengaja diwujudkan untuk mengaburi mata rakyat dengan kaitan Presiden MCA itu dalam skandal tersebut.
"Perletakan jawatan 21 ahli jawatankuasa pusat yang memaksa proses pemilihan baru kepimpinan parti itu diadakan semula berkemungkinan daripada gesaan pemimpin tertinggi BN yang tidak mahu Tee Keat memburukkan lagi imej parti dengan skandal PKFZ yang kini sudah menjadi kes mahkamah," jelas beliau.
Terdahulu Dr Chua mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Timbalan Presiden MCA di ibu pejabat parti bersama tujuh ahli jawatankuasa pusat termasuk Datuk Seri Kong Cho Ha, Datuk Seri Tan Chai Ho, Loh Seng Kok, Datuk Chong Itt Chew, Datuk Gan Tian Loo, Tee Siew Keong dan Por Choo Chor.
Keadaan ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada Presiden untuk mengadakan pemilihan baru kepemimpinan parti dalam tempoh sebulan.
13 anggota jawatankuasa pusat yang diketuai Tiong Lai turut berbuat demikian pada Disember tahun lalu menjadikan jumlah sekarang 21 orang yang telah meletak jawatan atau dua pertiga daripada ahli jawatankuasa pusat yang dipilih untuk memaksa pemilihan baru diadakan.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment