KUALA LUMPUR 5 Mac - Pakatan Rakyat Perak akan bermesyuarat hari ini bagi membincangkan tindakan menghadapi sidang Dewan Undangan Negeri yang dipanggil oleh Speaker lantikan Umno-Barisan Nasional pada 30 Mac depan.
Ketika dihubungi Suara Keadilan, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Khoo Ham berkata Pakatan Rakyat tetap tidak akan mengiktiraf Datuk R. Ganesan sebagai Speaker DUN yang sah.
Yang layak dan sah hanya Speaker V. Sivakumar mengikut peruntukan Perlembagaan Tubuh Negeri Perak kata beliau.
"Ganesan tidak layak untuk memanggil dewan bersidang kerana dia dipilih secara haram semasa sidang dewan yang lalu", ujarnya lagi.
Terdahulu Ganesan melalui notis yang ditandatangani Setiausaha DUN Perak, Rumaizi Baharin memanggil sidang Dewan 30 Mac ini.
Sidang itu adalah yang pertama kali selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan kontroversi baru-baru ini apabila mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar yang sah.
Mesyuarat petang ini akan diadakan di pejabat PAS Perak pada pukul 3:00 petang bagi membincangkan bentuk tindakan susulan yang bakal diambil berhubung sidang DUN tersebut.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment