Arkib Blog

Tuesday, March 9, 2010

Mahkamah Tetap 14 April Dengar Permohonan Anwar Saman Dr M


Permohonan untuk membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu terhadap saman fitnah RM100 juta terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang ditolak, akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan pada 14 April.

Salah seorang peguam Anwar, S.N Nair berkata beliau dimaklumkan mengenai tarikh itu oleh pendaftar Mahkamah Persekutuan melalui faks.

Pada 1 Mac, Mahkamah Persekutuan menangguhkan perbicaraan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan berikutan dengan permohonan Anwar agar dua hakim daripada tiga panel hakim Mahkamah Persekutuan, menarik diri dengan alasan, mereka sebelum ini telah mendengar saman sivil terhadap Dr Mahathir mengenai penyingkirannya daripada jawatan kabinet yang membabitkan pihak yang sama.

Anwar memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 10 Okt lepas, yang menolak rayuan beliau kerana sebab teknikal.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa memorandum rayuan yang difailkan oleh Anwar dalam bahasa Inggeris adalah tidak sah dan mestilah difailkan dalam Bahasa Malaysia.

Anwar menyaman Dr Mahathir pada Januari 2006 kerana mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadap beliau pada Persidangan Hak Asasi Manusia pada 9 Sept, 2005.

Pada 2007, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Dr Mahathir untuk membatalkan saman itu.

Anwar tidak berjaya dalam rayuan di Mahkamah Rayuan.

Sumber: TVSelangor

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009