AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Thursday, August 6, 2009

Sempena 06hb Ogos : AMK Selangor Gesa Dunia Hentikan Pembangunan Senjata Pemusnah Besar-besaran.



Kenyataan Media

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

06hb Ogos 2009

Sempena 06hb Ogos : AMK Selangor Gesa Dunia Hentikan Pembangunan Senjata Pemusnah Besar-besaran.

Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa dunia menghentikan perlumbaan membangunkan senjata nuklear dan pemusnah besar-besaran yang kini semakin membimbangkan. Pada 06 hb Ogos 1945, pengguguran bom atom pertama ke atas Bandaraya Hiroshima dan kedua pada 09hb Ogos ke atas Nagasaki telah mengorbankan lebih 350,000 nyawa tidak berdosa serta membawa kecederaan kepada jutaan lagi.

Justeru sempena 64 tahun tragedi hitam kemanusian itu, AMK Selangor menggesa agar dunia memperingati kemusnahan yang berlaku dan belajar daripada sejarah kemusnahan besar itu. Malahan kuasa-kuasa besar dunia perlu memusnahkan secara berperingkat senjata pemusnah besar-besaran yang ada daripada menjadi ancaman kepada keamanan dan kesejahteraan dunia dan generasi akan datang.

AMK Selangor juga menggesa kerajaan Malaysia agar konsisten menentang dengan keras sebarang aktiviti penggunaan dan pembangunan senjata pemusnah besar-besaran ini. Malah generasi muda masa kini perlu lebih prihatin kepada nasib alam ini akibat pengujian senjata ini yang akan mengancam ekosistem dan keseimbangan alam.

Usaha perlu dipergiatkan di seluruh dunia agar kesedaran terhadap kemusnahan dunia bakal berlaku jika senjata pemusnah besar-besaran ini tidak dikurangkan dan dimusnahkan. Generasi baru kini perlu dididik untuk mementingkan suasana keamanan dan berkasih sayang dan mengurangkan sebarang konflik daripada berlaku.

Sempena 06hb Ogos apabila bom atom pertama digugurkan ke atas Hiroshima dan kemudian 09hb Ogos ke atas Nagasaki. AMK Selangor dengan rasa prihatin kepada keamanan dan kasih sayang sesama manusia mengajak seluruh generasi muda untuk bersama-sama memikirkan dan membangunkan negara dan juga dunia yang lebih aman dan adil.

AMK Selangor menyarankan agar semua pemimpin-pemimpin dunia serta politik di negara ini mengurangkan konflik sesama manusia yang boleh menjadi bibit-bibit perpecahan dan peperangan masa kini dan hadapan. Budaya politik di negara ini perlu semangat perubahan baru yang lebih membina dan berkasih-sayang. Perbezaan pandangan dan ideologi bukan tembok penghalang untuk mewujudkan suasana hormat menghormati dan berkasih sayang.

AMK Selangor juga berharap budaya politik taksub yang melampau atas semangat bangsa dihentikan segera. Kita perlu belajar daripada sejarah kebencian dan peperangan ini yang mana akhirnya hanya membawa kepada kemusnahan. Kita perlu membina budaya baru yang bersama-sama semua bangsa tanpa mengira ras dan agama untuk menyemai semangat berkasih-sayang dan bantu-membantu.

Sudah tiba masanya, negara ini yang diberi kelebihan kepelbagaian bangsa mendiami negara ini saling mengamalkan budaya kenal-mengenali sesama kita. Ianya kerana setiap bangsa mempunyai keunikan tersendiri apabila mana ia digabungjalinkan dengan baik mampu membawa Malaysia menjadi pencetus tamadun baru di masa hadapan. Sewajarnya budaya politik sempit atas nama perkauman sempit dan jumud sudah lama pupus dan lenyap.

Akhirnya,AMK Selangor berharap generasi muda kini lebih prihatin kepada masa hadapan dunia akan datang. AMK Selangor mengajak seluruh anak muda yang bakal memimpin negara dan dunia akan datang menjadi pelindung dan penyelamat kepada dunia ini daripada menjadi mangsa kemusnahan besar-besaran hasil ciptaan manusia sendiri.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009