AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Thursday, June 10, 2010

Selangor Tawar Ganjaran RM5,000 Banteras Kegiatan Curi Pasir


SHAH ALAM 10 Jun - Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor menawarkan ganjaran RM5,000 kepada ketua kampung, ahli jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK) dan kakitangan kerajaan yang berjaya melumpuhkan kegiatan mencuri pasir di kawasan kampung mereka.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Mesyuarat Exco semalam bersetuju menawarkan ganjaran kepada mereka sebagai insentif kerana bersama-sama membantu kerajaan negeri membanteras aktiviti mencuri pasir yang membekalkan 75 peratus permintaan pasir di negeri ini.

"Mereka yang berjaya menahan jentera-jentera yang digunakan untuk mencuri pasir boleh menuntut ganjaran itu dari kerajaan negeri. Syarat dan peraturan ganjaran tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini semalam.

Menurut Khalid, insentif ini juga bertujuan menggalakkan kakitangan kerajaan di peringkat akar umbi untuk bersama membantu kerajaan negeri dalam membanteras kegiatan mencuri pasir yang telah merugikan rakyat.

Beliau berkata, setakat ini penjualan pasir secara halal hanya menguasai 25 peratus daripada pasaran yang bernilai kira-kira RM25 juta.

Namun, jika kegiatan mencuri pasir ini berjaya dilumpuhkan, kerajaan Selangor akan memperoleh pendapatan RM75 juta setahun.

Sehubungan itu, kerajaan negeri mengulangi pendirian tidak bertolak ansur dengan kegiatan mencuri pasir dan tidak akan melindungi sesiapa yang terlibat tidak mengira status atau pangkat termasuklah wakil rakyat, pegawai kerajaan atau keluarga mereka.

"Mereka yang mempunyai maklumat berkenaan salah guna kuasa dan rasuah digalakkan membuat laporan," katanya lagi.

Mengulas lanjut berkaitan insentif tersebut, Menteri Besar berkata terdapat beberapa faktor kerajaan negeri berbuat demikian.

"Bukan kerana apa, adakalanya mereka terpaksa bekerja malam sebab pada malam hari kita dapati berlakunya kecurian pasir.

"Mereka juga terpaksa memantau di kawasan-kawasan jauh daripada kampung.

"Perlu juga kita memberi insentif ini sebagai pekerjaan biasa, tetapi insentif itu hanya diberi apabila boleh terdapat penangkapan atau penahanan contohnya penangkapan jentera eskavator, baru boleh kita berikan."

Dalam pada itu, beliau juga memberi jaminan bahawa keselamatan sumber (pemberi maklumat) akan dilindungi sebaik-baiknya.

"Buat masa sekarang undang-undang mengenai Akta Pemberi Maklumat masih lagi dalam penggubalan dan akan dibentangkan di Parlimen dan saya difahamkan tidak lama lagi.

"Untuk itu, sudah tentulah kerajaan negeri memberikan perlindungan kepada ketua-ketua kampung dan pegawai-pegawai kerajaan berkenaan seperti yang kita lindung mereka sekarang. Tujuan mereka adalah untuk menjaga undang-undang negeri," katanya.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009