SHAH ALAM 15 Jun - Rancangan Malaysia Ke-10 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan tidak langsung memberi penekanan kepada golongan terbanyak iaitu masyarakat pekerja di negara ini.
Malah, RMK-10 juga tidak menyentuh aspek penting mengenai tuntutan gaji yang menjadi teras utama kepada golongan pekerja.
Golongan pekerja terus terhimpit dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Mengulas isu ini, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata isu gaji minima dan upah rendah yang tidak dinyatakan dalam RMK-10 menunjukkan kerajaan tidak peka dengan nasib pekerja yang seakan merempat di tanah air sendiri.
"Bacaan yang dibentangkan menunjukkan tiada langsung faedah kepada rakyat terbanyak malah akta pekerja mahu dipinda dan tidak disentuh mengenai tuntutan gaji minimum. Ini adalah satu penganiyaan kepada pekerja. RMK-10 ini tidak ada langsung perkara yang memberi kesan baik kepada golongan pekerja yang merupakan aset kepada kerajaan dan negara," katanya kepada Suara Keadilan.
Abdullah Sani menambah perkara itu membuktikan kerajaan kini sudah kehabisan wang sehingga terpaksa menarik subsidi kepada rakyat untuk menampung perbelanjaan negara yang teruk berpunca daripada isu ketirisan, rasuah dan penyelewengan dana awam.
"Banyak anggaran yang dibuat dalam RMK-10 dan saya musykil dari mana kerajaan mendapat wang sebanyak itu sedangkan kerajaan menanggung beban hutang yang tinggi. Perkara yang tidak penting diberi keutamaan dan perkara wajib yang memberikan manfaat kepada rakyat dipinggirkan manakala subsidi pula mahu ditarik balik," ujar beliau.
Beliau berkata, RMK-10 adalah Rancangan Malaysia paling 'haprak' berbanding sebelum ini di mana jauh berbeza ketika negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein yang banyak memberi penekanan kepada golongan pekerja dan rakyat berpendapatan rendah.
"Tapi perkara ini gagal diteruskan di bawah Najib. Kalau nak tarik subsidi kenapa kerajaan tidak tarik subsidi yang diberikan kepada syarikat IPP (penjana kuasa bebas), TNB dan sebagainya yang sekiranya dilakukan kerajaan akan dapat berbilion ringgit. Kenapa nak bebankan rakyat, ini kerana mereka lebih mengutamakan syarikat kroni," tegas Abdullah Sani lagi.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud turut melahirkan rasa kecewa kerana kerajaan tidak memberatkan golongan pekerja dalam teras utama RMK-10 antaranya isu mengenai bayaran gaji minima dan upah rendah di negara ini.
Setiausaha MTUC Sarawak, Andrew Lo dalam satu kenyataan berkata, kesatuan itu bimbang sekiranya kerajaan berterusan mengambil sikap menyokong kelompok peniaga dengan meminggirkan golongan pekerja.
"Kami kecewa dengan cadangan untuk meliberalisasi pasaran tenaga kerja yang akan menghakiskan lagi keupayaan para pekerja Malaysia untuk menaikkan paras upah.Tiada usaha konkrit untuk menaikkan upah. Banyak negara berpendapatan tinggi mempunyai upah minimum dan tiada apa mengenai perkara ini disebut di dalam RMK-10," kata beliau dalam kenyataan itu.
Sumber: TVSelangor
0 comments:
Post a Comment