AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Wednesday, September 2, 2009

Politik Negara Dari Pandangan Tunku Abdul Aziz



Tunku Abdul Aziz Ibrahim adalah bekas Pengerusi Transparency International (TI) Malaysia dan menyertai DAP pada Ogos tahun lalu sebelum diangkat sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan DAP. Selain menganggotai Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu, beliau juga dilantik sebagai Senator Julai lalu. Wartawan Suara Keadilan, Fazallah Pit dan wartawan TvAntara, Sharifah Azmawati cuba menyingkap pandangannya mengenai senario politik Malaysia.

Sejak mendapat mandat di beberapa negeri dan menafikan majoriti dua pertiga di Parlimen, sesetengah pihak menganggap pergolakan politik hasil serangan berterusan Barisan Nasional (BN) disebabkan faktor KEADILAN yang parti paling lemah dalam Pakatan Rakyat. Sejauh mana kebenarannya?

Saya tidak anggap KEADILAN sebagai parti paling lemah. Apabila ada tiga parti dengan tiga ideologi berbeza, bukan mudah untuk membawa persefahaman dan kerjasama serta menghasilkan gandingan mantap. Jika tidak bekerja keras, sentiasa akan ada bahaya menanti. Seperti kata Pengerusi DAP, Lim Kita Siang, jangan sampai Pakatan Rakyat hanya diberi peluang satu penggal sahaja.

Walaupun menerima banyak sokongan rakyat, mereka mahu lihat sama ada Pakatan Rakyat mampu menjadi sebuah kerajaan yang baik. Kita ada peluang untuk membuktikannya apabila berjaya menguasai lima negeri, seterusnya mencetus harapan supaya Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menteri apabila Pakatan Rakyat menguasai kerajaan Pusat.

Ia menunjukkan wujud sedikit kelonggaran dalam Pakatan Rakyat. Sebenarnya, apakah masalah utama dalam Pakatan Rakyat hingga mudah menjadi sasaran serangan BN? Dan, bagaimana mengelakkan situasi itu berterusan?

Kerap berlaku salah faham terutama antara parti. Sepatutnya, perlu ada satu penyelarasan membabitkan pemimpin utama dari ketiga-tiga parti berhubung strategi dan hal lain supaya dapat mengekalkan persefahaman.

Saya lihat, masalah paling besar ialah kurangnya kemahiran pengurusan komunikasi. Apabila banyak pemimpin membuat kenyataan, ia sepatutnya dibincangkan dulu supaya tidak menimbulkan rasa tidak senang rakan parti atau kenyataannya berlawanan dengan rakan parti.

Komuniskasi amat penting. Pemimpin perlu lebih banyak perbincangan pada masa depan. Ia akan membantu menjalinkan persefahaman lebih kukuh dengan memahami pendirian, cara kerja dan ideologi masing-masing.

Mungkin ia mengambil sedikit masa. Ini baru peringkat permulaan, tapi Pakatan Rakyat perlu mengenal pasti kelemahan dan kekuatan organisasi. Dalam isu arak di Selangor, ada orang parti ini kata begini tapi orang parti lain dalam Pakatan Rakyat buat perkara berbeza, seolah-olah mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan. Jadi, macam mana rakyat mahu percaya kebolehan Pakatan Rakyat dalam mentadbir negara.

Sungguhpun ada sedikit pergeseran antara parti dalam Pakatan Rakyat tapi ia masih mendapat tempat di hati rakyat. Jadi, di manakah sebenarnya tunjang kekuatan Pakatan Rakyat dalam senario politik Malaysia?

Kekuatan utama Pakatan Rakyat adalah berlandaskan kepercayaan dalam memperjuang isu kebebasan bercakap untuk semua golongan, selain keyakinan dalam usaha membanteras rasuah dengan berkesan yang tiada dalam BN. Jika ia dilakukan dengan baik, rakyat akan terus meletakkan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat.

Kerajaan BN dilihat tidak mengamalkan ketelusan dalam pemerintahannya sejak 52 tahun lalu. Kini, dengan Pakatan Rakyat memerintah beberapa negeri, bagaimanakan tahap ketelusan di negara ini.

Secara tuntas, PR memang lebih telus dari BN, tapi ia belum cukup. Pakatan Rakyat perlu mengamal dasar ketelusan secara total. Pakatan Rakyat mesti mengerti yang tanpa ketelusan, tidak akan ada akauntabiliti. Maknanya, ketelusan terlalu penting. Terlalu penting.

Setiap tindakan yang diambil Pakatan Rakyat perlu ada asas atau rakyat mungkin mempersoalkannya. Rakyat sentiasa mahukan jawapan dan mereka tidak akan mendapat jawapan jika tidak mengamal budaya ketelusan.

Dalam hal membuat keputusan pula, perlu ada keupayaan untuk menjawab dan mampu memberi penerangan mengapa sesuatu keputusan diambil. Jika tidak, rakyat tidak tahu apa sebenarnya berlaku. Ia akan memberi masalah. Kita kena jadi organisasi yang berpegang kuat kepada ketelusan.

Rakyat mendapati polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengamalkan ketelusan dalam menjalankan siasatan. Bagaimana pula tahap ketidaktelusan mereka dalam mengendalikan sesuatu kes.

Setiap ada organiasasi ada tahap ketelusan berbeza. Ini menimbulkan masalah. Ketelusan penting supaya rakyat tahu apa yang berlaku. Tanpa ketelusan, kebanyakan mereka hanya meneka. Meneka mencetuskan khabar angin dan ia tentunya bukan sesuatu yang baik.

Rakyat mungkin membuat spekulasi berdasarkan khabar angin. Ini tidak baik dalam mengurus sesebuah organiasasi. Jangan harap mereka akan menaruh keyakinan terhadap organisasi kerana mereka tidak tahu apa-apa. Mereka cuma akan fikirkan banyak perkara yang mungkin tidak betul.

Inilah masalah dengan polis dan SPRM. Ia jadi begitu kerana disokong Akta Rahsia Rasmi (OSA). Apabila dipersoal, mudah mereka mengatakan ia adalah tertakluk kepada OSA. Jadi mereka boleh sorokkan apa-apa perkara yang mungkin salah. Sebab itu, OSA mesti dimansuh. Rakyat bukan mahu tahu rahsia mereka tapi mahu tahu perkara yang memberi kesan kepada kehidupan.

Salah satu senjata utama BN dalam mempertahan kelangsungan kuasa politik ialah menggunakan agensi kerajaan tertentu dan amalan ini sudah lama dipraktik apabila mereka dalam keadaan terdesak.

Agensi kerajaan sepatutnya tidak bersifat politik dan mempromosi polisi BN. Jika tidak, ia sebenarnya menjadi alat kepada parti pemerintah. Mereka mesti bergerak mengikut lunas undang-undang dan tidak boleh menerima arahan daripada ahli politik.

Peranan sebenar mereka ialah memberi perkhidmatan kepada rakyat, secara adil dan saksama tanpa memilih bulu supaya agensi kerajaan terus memperoleh keyakinan rakyat. Di Perak misalnya, kita dapat lihat polis diperalat untuk meneruskan aganda BN. Ia tidak seharusnya berlaku.

Kebelakangan ini, banyak serangan peribadi digunakan BN sebagai modal politik dengan Anwar menjadi sasaran utama apabila dilabel sebagai pengkhianat bangsa. Apakah senario ini amalan politik yang baik untuk negara?

Bukan tindakan bijak untuk seseorang ahli politik melakukan serangan peribadi kerana banyak aspek lain yang boleh dikritik atau dibahas. Serangan politik perlu berlandaskan isu dan prestasi, bukan berbentuk personaliti.

Jika tidak, isu politik tidak terarah kepada prestasi, sebaliknya menjurus kepada serangan peribadi. Ini tidak baik untuk proses kematangan politik sesebuah negara.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin kebelakangan dianggap antara ahli politik paling galak melakukan serangan peribadi terhadap Anwar. Mengapa ini berlaku? Apakah mungkin ada agenda tertentu di sebalik kelantangannya itu?

Ramai tidak sedar yang Muhyiddin seakan-akan 'melepaskan semua' sedangkan Muhyiddin sendiri tidak sempurna. Tindakannya hanya mencetus persoalan sama ada corak permainan politiknya atas sebab ada pekung yang perlu disorok.

Sebaik-baiknya, Muhyiddin jika tiada apa-apa yang perlu dicakap, lebih baik jangan bercakap. Muhyiddin sepatutnya lebih banyak bercakap tentang prestasi, bukan isu peribadi.

Konsep 1Malaysia yang digagas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak giat dipromosi pada masa ini. Pada pandangan Tunku apa pentingnya 1Malaysia dan bagaimana kesannya kepada rakyat secara langsung?

1Malaysia, ia tiada apa-apa kecuali slogan. Kosong. Sesiapapun boleh mencipta slogan demi slogan tapi ia tidak membawa sebarang makna. Untuk rakyat merasai semangat 1Malaysia, perlu ada polisi yang konkrit kepada rakyat.

Jika tidak, ia menimbulkan kekeliruan. Diskriminasi terhadap masyarakat bukan Melayu, misalnya. Bagaimana mereka mahu beri reaksi positif kerana ia tidak merangkumi semua pihak sedangkan semua orang sepatutnya menjadi sebahagian dari 1Malaysia.

Memang Najib ada membuat beberapa perubahan. Misalnya, memperkenal biasiswa kepada pelajar bukan Melayu tapi banyak lagi yang perlu dibuat. Dan, tidak boleh ada 1Malaysia jika masih ada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ia undang-undang yang ketara mengongkong rakyat. Tidak boleh ada amalan tahan tanpa bicara. Kemudian, dengan mudah tangkap pemimpin pembangkang masuk ISA.

Memang benar, perlu ada undang-undang berkaitan anti-pengganas, tapi kita tidak boleh kata Anwar, Kit Siang sebagai pengganas. Sebab itu, saya katakan, 1Malaysia takkan berjaya.

Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan tanah air ke-52, bagaimana Tunku melihat Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka.

Selama 52 tahun, Malaysia berdiri sebagai negara merdeka. Baik pemimpin mahupun rakyat, mereka sepatutnya mampu membuat keputusan sendiri tanpa dipengaruhi apa-apa. Kita ada sebahagian kebebasan itu tapi tidak menyeluruh.

Kerajaan juga perlu lebih bertanggungjawab dalam menyediakan aspek keselamatan, keselesaan dan perlindungan kepada segenap lapisan rakyat. Rakyat juga perlu dibebas dari pelbagai belenggu sedia ada.

Sumber: tvantara.com

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009