AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Wednesday, September 2, 2009

Pakatan Rakyat Letak Penanda Aras



Pembangkang Malaysia memperoleh keputusan penting pada pilihan raya kecil Permatang Pasir, sekali gus memberi isyarat yang momentum untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) yang berkuasa lebih setengah abad, masih kuat.

Penganalisis menyifatkan keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir menunjukkan Pakatan Rakyat yang diasas oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu bekerjasama walaupun wujud ketegangan antara tiga parti itu, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), DAP dan PAS.

Ia juga memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berkuasa sejak April lalu untuk mengembalikan pengundi ke pangkuan BN yang mengalami kemerosotan paling buruk pada pilihan raya umum lalu.

"Ia satu kemenangan besar yang memberi pukulan hebat terhadap Najib," kata ahli politik veteran pembangkang, Lim Kit Siang selepas Pakatan Rakyat mengekal kerusi dengan majoriti menyakinkan, Selasa lalu.

Pembangkang kini menang tujuh daripada lapan pilihan raya kecil sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 8 Mac lalu, menyuntik keyakinan besar kepada gandingan KEADILAN, PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Pilihan raya kecil pada pertengahan Julai lalu di Manik Urai, Kelantan memperlihat kemerosotan undi majoriti pembangkang, yang kemudian dibaca BN sebagai isyarat sokongan terhadap parti pemerintah mulai meningkat.

Bagaimanapun, Kit Siang menyifatkan keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir menunjukkan momentum yang berlaku pada PRU ke-12 pada 18 bulan lalu, masih kekal dan berterusan.

Penganalisis politik, Shaharuddin Badaruddin yang membuat penelitian proses pengundian di Permatang Pasir, menganggap keputusan pilihan raya itu menunjukkan jentera BN punah sama sekali.

"Kemenangan itu kritikal untuk kelangsungan hayat Pakatan Rakyat," katanya dengan menambah, jika parti pemerintah berjaya mengurangkan undi majoriti, ia tentu akan memberi masalah kepada Anwar.

Shaharuddin berkata, pilihan raya kecil juga menunjukkan polisi 1Malaysia yang dibawa Najib bagi memenangi semula hati kaum minoriti seperti Cina dan India, tidak diterima dengan baik.

"Saya tidak fikir rakyat benar-benar memahami maksud sebenar 1Malaysia," katanya.

Komuniti minoriti di Malaysia menyokong pembangkang dalam PRU ke-12 pada 2008 yang pertama kali membawa kepada penafian majoriti dua pertiga di Parlimen, selain membentuk kerajaan di lima negeri.

Sumber: AFP

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009