Pakatan Rakyat memfailkan satu laporan polis terhadap Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein ekoran campurtangan beliau dalam siasatan polis. Laporan polis ini dibuat berikutan tindakan Hishamuddin Hussein memintas siasatan polis dengan mengadakan pertemuan dengan penganjur tunjuk perasaan 'kepala lembu' di Shah Alam minggu lalu. Exco Selangor Xavier Jeyakumar, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud membuat aduan tersebut ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, jam 12.30 tengahar tadi. Pakatan Rakyat berkata campurtangan ini adalah penyalahgunaan kuasa yang besar dan boleh mempengaruhi siasatan polis keatas isu ini, lebih-lebih lagi apabila Hishamuddin mengambil pendirian tanpa menunggu hasil siasatan polis. "Satu siasatan bebas perlu diwujudkan segara bagi menyiasat tindakan Menteri Dalam Negeri mencampuri siasatan polis berhubung tindakan tunjuk perasaan kepala lembu tempoh hari. Jelas sekali ini adalah penyalahgunaan kuasa," kata Xavier di perkarangan IPD Petaling Jaya. Dalam kejadian 28 Ogos lalu, segerombolan individu mengadakan tunjuk perasaan di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sambil mengheret kepala seekor lembu, menendang dan meludah kepala itu sebagai bantahan kepada pemindahan sebuah kuil lama dari Seksyen 19 Shah Alam ke Seksyen 20 Shah Alam. Tunjuk perasaan itu dikecam pelbagai pihak sebagai menghasut kepada perbalahan agama dan bersifat provokasi. Ketika polis mengadakan siasatan, Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein bertindak mempertahankan provokatur-provokatur terbabit. Hishamuddin mengadakan pertemuan dengan provokatur terbabit, dan dalam satu kenyataan selepas pertemuan tersebut, Menteri Dalam Negeri itu berkata pihak terbabit tidak perlu dihukum sekiranya semua pihak mengamalkan sikap memahami dan bertolak-ansur. "Sesungguhnya kenyataan Menteri terbabit amat mengejutkan. Beliau mempertahankan tindakan dan provokasi kumpulan terbabit," kata Xavier dengan nada kesal. Sementara itu, Charles Santiago berkata Menteri Dalam Negeri tidak boleh menghalang mana-mana pihak yang didapati menghasut kepada perbalahan kaum dan agama dari diheret ke muka pengadilan. "Saya amat kesal dengan kenyataan Hishamuddin Hussein itu, dan saya fikir beliau perlu meletakkan jawatan. Saya juga menggesa Peguam Negara untuk mengheret penghasut untuk membela diri di mahkamah," kata Charles. Sumber: tvantara.com |
Arkib Blog
Thursday, September 3, 2009
Menteri Tidak Wajar Bela Ekstremis - Pakatan Rakyat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment