KUALA LUMPUR, 5 Mei (Hrkh) - Krisis politik yang semakin kronik di Perak lebih-lebih lagi menjelang Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) 7 Mei ini hanya boleh diselesaikan dengan pembubaran Dun sahaja.
Beliau melahirkan kebimbangan dengan perjalanan sidang Dun 7 Mei ini memandangkan kecelaruan berhubung kedudukan Speaker.
"Hanya satu jalan iaitu dengan membubarkan Dun, selain itu saya tak nampak akan ada penyelesaiannya," ujar Mohammad.
Sementara itu menjelang sidang 7 Mei, terdapat arahan membataskan wartawan membuat liputan sidang dewan iaitu yang pertama selepas BN merampas kuasa Pakatan Rakyat, Februari lalu.
"Perjalanan persidangan Dewan Negeri terletak di bawah bidang kuasa Speaker.
"Dato' Setiausaha Kerajaan Negeri (Dato' Abdul Rahman Hashim) tidak berunding dengan Speaker berkaitan dengan hal ini.
"Beliau membuat keputusan sendiri secara sewenang-wenangnya," kata Speaker Dun, V Sivakumar.
"Sekali lagi, Setiausaha Kerajaan Negeri telah campur tangan dalam urusan perjalanan Dewan Negeri."
Beberapa akhbar internet melaporkan hanya beberapa "media utama" sahaja diberikan kebenaran untuk membuat liputan sidang penting tersebut yang menentukan saat-saat getir perjuangan terakhir Pakatan dalam perebutan kuasa dengan BN.
Ia termasuk menentukan Speaker baru dan usul menyokong Menteri Besar BN Dato' Zambry Abd Kadir.
Dalam kenyataannya kepada media baru-baru ini, Sivakumar berkata media "bukannya datang untuk menimbulkan kekecohan dalam dewan."
"Mereka (media) hanya datang untuk membuat liputan persidangan. Rakyat berhak mengetahui apakah sebenarnya berlaku dalam persidangan hari itu," katanya.
"Rakyat tidak boleh diperdayakan dengan berita 'satu pihak' dengan hanya membenarkan media yang menyokong kerajaan.
"Tindakan Dato' Setiausaha jelas menunjukkan satu lagi usaha yang mengancam demokrasi negara kita." - azm _
0 comments:
Post a Comment