Rusnizam Mahat
SHAH ALAM, 5 Mei (SK) : Angkatan Muda Keadilan Selangor membantah peraturan baru yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) berhubung larangan membawa penyokong melebihi 5,000 orang bagi mengiringi calon bertanding pada hari penamaan calon dan isu mengenai pondok panas pada hari pilihanraya.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangannya, Mohd Ezli Mashut, AMK Selangor menegaskan bahawa peraturan baru itu tidak praktikal dan menuntut penjelasan SPR mengenai.
“AMK Selangor menegaskan peraturan baru tersebut tidak praktikal langsung untuk dilaksanakan. Mengenai had hanya 5,000 orang yang boleh mengiringi calon. AMK Selangor ingin penjelasan SPR apakah mekanisma dalam menentukan jumlah tersebut dapat dilaksanakan,” ujarnya.
Katanya, rakyat perlu diberi kebebasan untuk bersama-sama menyertai proses demokrasi dan menyuburkan erti semangat pilihanraya yang sebenar dan bukannya mengenakan sebarang peraturan yang tidak profesional.
Menurutnya, AMK Selangor turut mendesak agar penggunaan dakwat pada jari dapat dilaksanakan secepat mungkin tanpa sebarang alasan sepertimana yang dituntut dalam perhimpunan Bersih November dua tahun lalu.
“Penjelasan perlu dikemukakan apakah sebabnya sehingga kini perlaksanaanya tertangguh hanya beberapa hari sebelum PRU-12 lepas,” katanya.
Menurutnya SPR perlu bersikap lebih professional, bebas dan melaksanakan pembaharuan yang sejajar dengan prinsip menyuburkan semangat dan erti demokrasi yang sebenarnya di negara ini.
“SPR juga perlu lebih proaktif dengan mengadakan sessi dialog dan forum bersama parti-parti di negara ini sebelum melaksanakan sesuatu peraturan baru yang akhirnya mengundang sensasi dan kontroversi,” jelasnya.
Menurut beliau, AMK Selangor yakin kewibawaan SPR akan diyakini rakyat Malaysia dan dunia antarabangsa jika tindakannya menunjukkan sikap yang lebih berwibawa, professional dan membawa pembaharuan yang positif kepada sistem demokrasi di negara ini dan bukan hanya bertindak mewakili kepentingan pihak tertentu.
0 comments:
Post a Comment