PELABUHAN KLANG, 2 April - Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menegaskan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak mencampuri keputusan yang akan dibuat berhubung kedudukan Elizabeth Wong dalam kerajaan negeri.
Menurutnya, kedudukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) itu hanya akan diputuskan oleh beliau bersama anggota Exco yang lain.
“Dato’ Seri Anwar tidak mencampuri keputusan (mengenai kedudukan) Elizabeth Wong…ia keputusan saya dan ahli Exco, tidak ada Dato’ Seri Anwar,” katanya ketika mengulas dakwaan Exco Pemuda UMNO, Lokman Noor Adam hari ini kononnya Anwar tidak mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan itu melepaskan jawatannya disebabkan peranan penting beliau dalam parti itu.
Lokman dalam kenyataannya dalam akhbar Sinar Harian berkata Anwar jelas pilih kasih kerana dalam kes Adun Bukit Selambau, V Arumugam yang didakwanya terlibat dengan masalah moral, telah didesak untuk meletakkan jawatan.
Abdul Khalid yang menyangkal dakwaan itu berkata tidak timbul isu pilih kasih seperti yang didakwa kerana Anwar sememangnya tidak ada kena mengena dengan keputusan yang akan dibuat kerajaan negeri.
“Elizabeth adalah Exco dan sebagai Menteri Besar saya telah diberi kuasa oleh kerajaan negeri dan juga DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menimbangkan tentang perkara tersebut.
“Jadi tidak ada hubungannya dengan (bekas) Adun di Bukit Selambau,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Baik Pulih Sekolah-Sekolah Agama Negeri Selangor 2009 di Sekolah Kafa Integrasi Al-Mumtaz, Masjid Teluk Gong, Pelabuhan Klang, di sini, tengah hari tadi.
Terdahulu Abdul Khalid dalam ucapannya berkata kerajaan negeri sekarang menyedari tentang kekurangan dan kedaifan bangunan serta peralatan pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah agama di Selangor.
“Oleh sebab itu, tahun ini kerajaan negeri bersetuju memberikan peruntukan sebanyak RM4 juta untuk melaksanakan keperluan kerja baik pulih bangunan-bangunan ini,”katanya yang turut menyampaikan sumbangan bantuan RM50,000.00 kepada Sekolah Kafa Integrasi Al-Mumtaz, Masjid Teluk Gong.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Mohammed Khusrin Munawi berkata bantuan kerajaan hari ini meliputi bantuan baik pulih bangunan melibatkan 200 buah Sekolah Rendah Agama dan 288 Kafa Integrasi, 10 SRAI, 12 Pra-Sekolah dan dua Maahad Integrasi Tahfiz Sains. - MURIZA ABDUL HAMID
0 comments:
Post a Comment