Arkib Blog

Tuesday, October 18, 2011

Empat saksi pendakwa gagal cabar keterangan pakar, kata peguam Anwar


KUALA LUMPUR, 18 Okt — Empat saksi yang dibawa pasukan pendakwa hari ini gagal mencabar kredibiliti keterangan pakar pihak pasukan pembela yang mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim secara fizikal tidak berupaya untuk meliwat sesiapa, kata peguamnya hari ini.

Hari ini, mahkamah mendengar keterangan Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Zaninah Mohd Zin, pegawai penyiasat ASP Jude Pereira, Sarjan Ahmad Abdullah dan pakar runding HKL Dr Jayaindran Sinadorai.

Mereka hadir sebagai saksi pendakwa selepas pasukan pembela menutup pembentangan kes mereka semalam.

Saksi ketujuh pasukan pembela Dr Thomas Hoogland baru-baru memberi keterangan bahawa “sangat tidak mungkin” Anwar telah meliwat pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan ekoran keadaan bahagian belakang yang sakit dan tidak mampu melakukan aktiviti-aktiviti berat.

Semalam, Peguam Cara Kanan II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden memberitahu mahkamah bahawa empat saksi pihaknya akan mengetepikan keterangan Dr Hoogland tentang keupayaan Anwar melakukan perbuatan yang didakwa — meliwat Saiful.

Peguam pembela memberitahu mahkamah bahawa mereka telah menutup kes peringkat pembelaan dan tiada bantahan jika pendakwa mahu membawa saksi-saksi baru.

Dr Hoogland sebelum ini memaklumkan bahawa “sangat tidak mungkin” Anwar telah meliwat Saiful ekoran faktor usia dan juga masalah artritis teruk dan kerosakan saraf yang dialami Ketua Pembangkang itu.

Dr Hoogland, yang mengendalikan pembedahan ke atas Anwar di Munich, Jerman pada 2004 berkata, Anwar berhadapan dengan tiga masalah iaitu stenosis leher, artrisis dan kerosakan laluan saraf yang tidak membolehkan beliau terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang kuat.

Pakar itu berkata sudah pasti Anwar berhadapan dengan kesakitan yang teruk jika beliau mengadakan hubungan seks melibatkan posisi membongkok dan berlutut.

Hari ini, tiga saksi pertama memberi keterangan bahawa peguam-peguam Anwar menerima satu salinan laporan perubatan pada 16 Julai 2008 — yang diambil selepas Ketua Pembangkang itu diminta menjalani pemeriksaan perubatan ketika ditahan antara 16 dan 17 Julai 2008.

Terdapat dua laporan perubatan, yang kedua-duanya ditandatangani oleh Dr Jayaindran manakala yang kedua ditandatangan bersama oleh doktor fizik kerajaan Dr Ee Boon Leong.

Sementara keterangan tiga saksi dibuat di mahkamah terbuka manakala keterangan Dr Jayaindran pula dijalankan menggunakan kamera.

“Bukti ini tidak boleh menyangkal keterangan Dr Thomas Hoogland. Ia tidak mencabar penilaian Hoogland,” kata peguam pembela Sankara Nair kepada pemberita selepas mahkamah ditangguhkan.

Butiran keterangan Dr Jayaindran tidak diketahui malah Sankara pula enggan menghuraikan dengan lanjut.

“Saya tidak boleh kata banyak sebab sesi dijalankan menggunakan kamera. Tetapi, apa yang boleh saya katakan sekarang ialah bukti (pendakwa) dikemukakan hari ini tidak boleh sangkal Hoogland,” kata Sankara.

Ini merupakan pertuduhan liwat kedua terhadap Anwar. Pada 2000, beliau dituduh meliwat pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar.

Anwar didapati bersalah dan dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi kerana meliwat Azizan, tetapi empat tahun kemudian Mahkamah Persekutuan menyanggah keputusan kesalahan dan mengetepikan hukuman penjara tersebut.

Anwar dituduh melakukan kesalahan itu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan rotan jika sabit kesalahan.

Perbicaraan itu, yang bermula pada 3 Februari tahun lepas, di mana Mohd Saiful, 25, memberikan keterangan dengan memberitahu mahkamah mengenai tugasnya di pejabat Anwar sebagai pembantu dan dakwaan insiden tersebut.


Sumber: The Malaysian Insider

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009