Arkib Blog

Saturday, July 2, 2011

Pakai baju BERSIH 'di dalam' juga ditangkap polis


Tiga anggota PKR ditangkap di sebuah pasar di Batu Gajah, Perak pada jam 9.20 pagi ini kerana memakai kemeja T kuning BERSIH 2.0, meskipun mempunyai baju lain di luarnya. Menurut timbalan setiausaha PKR Perak Tan Kar Hing, ketiga-tiga mereka ketika kejadian sedang menikmati minuman teh apabila ditahan polis. "Polis minta mereka buka baju dan tahan mereka apabila baju dalam yang dipakai adalah baju BERSIH,” lapor Tan. Ahli PKR itu dikatakan sedang menikmati minuman pagi dan tidak melanggar sebarang undang-undang sebelum didatangi beberapa orang pihak polis.

Seorang anggota polis itu dikatakan secara tiba-tiba bertindak menyelak baju yang dipakai salah seorang daripada mereka dan menampakkan baju kuning BERSIH 2.0 yang dipakai di bahagian dalam dan terus ditangkap.

Mereka yang ditangkap itu adalah timbalan ketua cawangan Batu Gajah Adnan Talib, 50, naib ketuanya Anthony Wijaya, 50, dan pengarah skuad Pemuda Perak Tamil Selvam, 28. Ketiga-tiga lelaki itu kemudiannya dibawa ke balai polis Batu Gajah untuk siasatan.

Hak buka baju

Sementara itu, Harakahdaily melaporkan ADUN Tronoh S Sivakumar dan peguam Ng Mun Yin turut mengiringi ahli PKR itu ke balai polis.

Sivakumar ketika diminta mengulas perkara itu menyifatkan, polis bertindak keterlaluan dan tidak menghormati rakyat.

"Mereka pakai T-shirt BERSIH di dalam, di luar baju lain, polis pergi buka baju mereka, apa kuasa polis buka baju orang cek dalam pakai baju apa?" soalnya tidak berpuas hati.

Sementara itu, Ng pula memaklumkan mereka ditahan di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan.

Polis juga ujarnya memberi jaminan semua yang ditahan akan dibebaskan hari ini.

Sejak seminggu ini, semakin ramai yang ditangkap. Awal pagi tadi, exco Selangor Ronnie Liu ketika dalam perjanan pulang bersama Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim ditangkap di Hulu Selangor manakala di Alor Setar, 14 orang yang sebahagian besar mereka ahli PKR juga dicekup oleh polis.

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009