SHAH ALAM 15 JUN : Golongan peneroka Felda di Selangor kini bakal menikmati manfaat daripada usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf hidup rakyatnya melalui perancangan utamanya dalam pembentangan kertas kerja Akta Tanah (Kawalan Penempatan Berkelompok) 1960 atau GSA 1960, semalam.
Tiga perancangan utama terbabit adalah pemberian hak milik tanah kepada peneroka, pembinaan rumah mampu milik dan juga penamatan status GSA 1960.
Menurut ahli panel Dialog-Diskusi, Suhaimi Said,usaha Kerajaan Negeri Selangor ini mampu dilaksanakan dibawah peruntukan GSA 1960 sekali gus memberikan kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengambil alih Felda Plantation untuk mengurus sendiri pentadbiran tanah berkenaan.
Suhaimi yang juga pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR berkata, melalui ruang undang-undang berkenaan dibawah Seksyen 44 membolehkan kerajaan negeri menamatkan rancangan berkelompok dan mengambil semula ladang di bawah kuasa Felda.
Jelasnya lagi, peruntukkan GSA 1960 itu juga memberikan kerajaan negeri kuasa untuk mengeluarkan geran mengikut Seksyen 10 akta berkenaan.
"Macam mana hendak keluarkan daripada akta GSA 1960? Kerana Felda Plantation menggunakan senjata ini (Akta Penempatan Berkelompok) untuk mengikat peneroka-peneroka Felda dengan kontrak yang berat sebelah.
"Walau kawasan yang sudah diberikan hak milik juga mesti dijual kepada pembeli yang telah ditetapkan Felda. Dan untuk keluarkan mereka dari akta GSA 1960 ia mesti dikaji bawah kuasa 44 untuk tamatkannya,"katanya.
Suhaimi berkata demikian ketika membentang kertas kerja Akta Tanah (Kawalan Penempatan Berkelompok) 1960 atau GSA 1960 di Dewan Annex, Shah Alam.
Suhaimi berkata, melalui jawatankuasa yang ditubuhkan ini kerajaan negeri juga perlu mengambil peluang untuk mengumumkan perancangan bagi membina rumah mampu milik, khususnya untuk anak-anak peneroka Felda dari Generasi kedua dan seterusnya.
Jelasnya lagi, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan kawasan tanah seluas lebih 30 ekar di kawasan Felda Suharto untuk dijadikan tapak bagi membina rumah mampu milik berkenaan.
Tambah Suhaimi, pihaknya juga telah mengemukakan satu kertas cadangan bagi membolehkan tanah berkenaan diambil alih oleh kerajaan negeri sekali gus dipersetujui Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Katanya, melalui akta GSA 1960 ini juga kerajaan negeri bersedia untuk mengeluarkan geran tanah kepada para peneroka.
"Felda Plantation ada hak untuk membantah keputusan kerajaan negeri, namun kuasa kerajaan negeri terhadap tanah-tanah rancangan Felda sangat besar dan luas sekali gus mempunyai hak untuk mengeluarkan geran," katanya lagi.
Sementara itu, menurut salah seorang lagi ahli panel Dialog-Diskusi, Mazlan Aliman, usaha yang dilakukan bagi golongan peneroka ini berkenaan sepatutnya ditawarkan dalam pakej seperti manisfesto Buku Jingga Pakatan Rakyat.
"Ini akan jadi isu utama yang kita akan jadikan peluru pilihan raya. Oleh itu, untuk pilihan raya akan datang Felda bukan lagi talian hayat BN dan tidak mustahil kubu-kubu kuat mereka inilah yang akan menjadi kubu terakhir yang runtuhkan BN," kata pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan itu lagi dalam majlis perbincangan sama.
Hadir sama dalam pembentangan kertas kerja Akta Tanah (Kawalan Penempatan Berkelompok) 1960 ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pakar perundangan, barisan exco Kerajaan Negeri dan lebih 60 orang ahli majlis serta peneroka.
Pada majlis Dialog-Diskusi Akta Tanah (Kawalan Penempatan Berkelompok) 1960 Felda Selangor itu juga satu jawatankuasa khas Felda Negeri Selangor telah ditubuhkan bagi menasihati kerajaan negeri Selangor mengenai langkah yang boleh diambil untuk membela masyarakat Felda di negeri itu.
Bagaimanapun, jawatankuasa yang telah ditubuhkan sejak lebih setahun itu sebelum ini dikepalai oleh Datuk Zaid Ibrahim sebelum bertindak keluar daripada PKR dan kini mengetuai parti baru KITA.
Sumber: TVSNEWs
0 comments:
Post a Comment