Arkib Blog

Wednesday, June 15, 2011

Isu IPP : Najib Di Pihak Rakyat Hanya Retorik


KUALA LUMPUR 15 JUN : Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan berada di pihak rakyat berhubung isu melibatkan pengeluar tenaga bebas (IPP) hanyalah retorik semata-mata.

Rata-rata ahli parlimen PR yang ditemui TV Selangor di lobi parlimen bersependapat dalam isu itu dan menganggap ianya hanya untuk mengaburi mata rakyat demi meraih sokongan yang kian terhakis.

Ahli Parlimen Kuantan, Fauziah Saleh berkata kerajaan perlu bertindak telus dalam membentangkan mengenai perjanjian bersama IPP dan ianya juga perlu dikaji semula.

Malah katanya adalah jelas ketika ini kerajaan membenarkan pihak IPP menggunakan dan mengeluarkan tenaga berlebihan melangkaui tahap piawaian di peringkat antarabangsa.

Akibat dari itu katanya, rakyat terpaksa menanggung kadar tarif elektrik yang tinggi sehingga menjejaskan perbelanjaan.

“Saya bagi satu contoh kita bercakap tentang akses kapasiti. Akses kapasiti sekarang ini kita punya 40 peratus sedangkan tahap antarabangsa mengatakan maksimum 20 hingga 25 peratus. Akan tetapi Malaysia membenarkan IPP mengeluarkan tenga berlebihan sebanyak 40 peratus,” katanya kepada TV Selangor.

Tambah beliau,tindakan kerajaan yang dilihat berdolak- dalik berhubung gesaan supaya perjanjian di antara kerajaan dan syarikat IPP didedahkan,jelas menunjukkan pemerintah hanya mengutamakan kroni semata-mata.

“Saya menegaskan segala tindakan kerajaan itu menunjukkan ianya satu usaha menjaga kroni semata-mata,” katanya.

Sementara itu, ahli parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata sememangnya apa dinyatakan Najib itu tidak boleh diterima dan tinggal kata-kata sahaja kerana setakat ini apa dituturkan gagal diterjemahkan menjadi satu realiti.

Katanya, pemimpin PR dan rakyat khasnya mahu melihat sekiranya benar kerajaan berpihak kepada rakyat, maka kerajaan sewajarnya mendedahkan segala perjanjian PPA dengan pihak IPP itu.

Awal bulan ini, Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak tujuh peratus mulai 1 Jun, sekali gus memberi kesan kepada kadar inflasi yang semakin meningkat.

Harga gas asli juga dinaikan kepada RM3 mmBtu setiap enam bulan sehingga mencapai paras pasaran menjelang 2016 setelah diapung sepenuhnya.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapha Mohamad mendakwa kenaikan itu hanya akan memberi kesan minima kepada kadar inflasi negara yang kian tertekan ekoran kenaikan harga minyak dan barangan seperti gula baru-baru ini.

Menteri Tenaga Teknoloji Hijau dan Air Datuk Peter Chin pula mendakwa kenaikan kadar elektrik itu hanya memberi kesan kepada 25 peratus daripada pengguna yang menggunakan lebih daripada 300KW tenaga setiap bulan.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009