Arkib Blog

Monday, June 20, 2011

Saksi: PKNS lupus bon pelaksanaan syarikat Shamsuddin


Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pernah melupuskan keperluan 'bon pelaksanaan' untuk Proniaga Sdn Bhd, sebuah syarikat milik pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni, demikian Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu hari ini.

Ini selepas Shamsuddin (kiri) membuat rayuan dengan sokongan menteri besar ketika itu, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, kata bekas pengurus besar PKNS, Datuk Harun Salim dalam keterangannya hari ini.

Bon pelaksanaan untuk projek pembangunan di Bandar Baru Bangi itu, telah digantikan dengan jaminan pengarah, yang menurut Shamsuddin dalam keterangannya sebelum ini, bahawa beliau sendiri membayar RM2 juta dalam bentuk wang tunai.

Sebahagian besar kontrak PKNS memerlukan kontraktor membayar bon prestasi sebagai jaminan bahawa mereka akan menyiapkan projek.

Pihak pendakwaan mengemukakan satu lampiran bertulisan tangan pada surat rayuan tersebut sebagai bukti. Di dalamnya, Khir merujuk kepada Ditamas sebagai "syarikat bumiputera" dengan "rekod yang baik", dan mengesyorkan supaya keperluan bon itu dilupuskan.

Ketika disoal timbalan pendakwa raya, Masri Mohd Daud dan semasa soal-balas oleh peguambela M Athimulan, Harun bertegas bahawa proses itu mengikut prosedur dan tidak ada pertimbangan istimewa telah diberikan kepada Shamsuddin.

Semua keputusan berhubung projek PKNS diputuskan oleh Jawatankuasa Penswastaan Projek, kata Harun.

Tetapi ketika disoal Hakim Datuk Mohtaruddin Baki, beliau mengakui bahawa langkah melupuskan bon pelaksanaan itu "jarang" dilakukan oleh PKNS.

Harun memberi keterangan pada hari kelapan kes perbicaraan Khir yang didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, di Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin.

Hartanah tersebut yang terletak di Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Khir, yang juga ADUN Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.


Sumber: Malaysiakini

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009