Arkib Blog

Monday, June 20, 2011

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim memfailkan keterangan saksi dalam kes s


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim memfailkan keterangan saksi dalam kes saman beliau terhadap penulis blog berhubung satu artikel yang didakwa memfitnah beliau.

Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof turut mengarahkan penulis blog itu, Amizudin Ahmad, berbuat perkara serupa selepas mengadakan pertemuan dengan peguam Azad Bashir yang mewakili Rais, dan peguam Gan Chee Wei mewakili Amizudin.

Ketika ditemui pemberita, Azad, berkata mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan keterangan itu sebelum 1 Julai.

Mahkamah sebelum ini menetapkan tiga hari bermula 4 Julai untuk mendengar kes itu.

Pada 31 Januari, Rais memfailkan saman fitnah terhadap Amizudin, yang juga anggota jawatankuasa sayap pemuda PKR, berhubung artikel yang disiarkan dalam blog Amizudin, bersama gambar Rais, pada atau sekitar 28 Disember tahun lepas.

Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk selain perintah terhadap defendan supaya mengeluarkan dari blognya artikel itu dan melarangnya daripada terus menyiarkannya.

Pada 2 Februari lepas, Rais memperoleh injunksi daripada Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Amizudin mengeluarkan artikel yang didakwa memfitnah beliau daripada blog, sharpshooterblogger.blogspot.com.

Amizudin pada 21 Mac lalu bersetuju berhenti menyiarkan artikel itu.

Dalam kenyataan tuntutannya, Rais, 69, berkata maksud artikel dalam bahasa Melayu itu berniat jahat dan memfitnah beliau.

Menteri itu berkata tulisan itu membawa makna beliau bersalah melakukan jenayah serius merogol dan mampu membunuh pembantu rumah beliau dari Indonesia.

Rais juga berkata tulisan fitnah itu membawa maksud beliau seorang manusia dan/atau pemimpin yang tidak bermoral.

Katanya ekoran daripada penerbitan artikel itu, reputasi beliau sebagai seorang individu dan/atau sebagai seorang profesional di peringkat nasional dan antarabangsa telah tercemar teruk, dan membuat beliau malu dan tertekan.

Amizudin dalam pernyataan pembelaannya mempertahankan tindakannya dengan berkata artikel itu menyatakan apa yang benar berlaku.

--Bernama

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009