Arkib Blog

Friday, June 24, 2011

Peguam Wakili Rahim Ada Agenda Politik- AMK

PETALING JAYA 24 JUN: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa peguam Datuk Shafee Abdullah yang mewakili Tan Sri Rahim Thamby Chik dalam kes penayangan video seks lucah mempunyai agenda peribadi terhadap Ketua Pembangkang.

Ini kerana menurutnya, fakta kes yang dibaca dalam mahkamah oleh Shafee bertujuan mengemukakan hujah meringankan hukuman Rahim dilihat lebih menjurus kearah meyakinkan hakim bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video seks berkenaan.

"Kemungkinan peguam Shafee mempunyai motif peribadi, mungkin masalah beliau dengan Anwar sehingga beliau mengemukakan hujah dalam rayuan dengan menyebut dan menyerang Anwar.

"Rayuan dalam kes ini seharusnya dilakukan dalam konteks mengurangkan hukuman dan kenapa Rahim tidak boleh diberikan hukuman berat. Bukan menyerang Anwar untuk menyelamatkan Rahim, itu bukan kaedah," kata beliau.

Justeru Shamsul yakin bahawa tindakan tersebut telah dirancang dengan teliti bertujuan politik malah tidak menolak bahawa media arus perdana akan menfokus kepada si pelaku dan bukan trio 'Datuk T' yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

Beliau yang ditemui Tv Selangor selepas menayangkan video dokumentari versi PKR bersama Datuk Johari Abdul kemudian menyatakan bahawa laporan pakar video dari Amerika Syarikat yang mengesahkan 99.9 peratus sepertimana yang disahkan oleh polis tidak menyebut Anwar adalah pelaku.

Namun menurut beliau laporan tersebut hanya mengesahkan pelaku adalah mirip Anwar.

"Dari segi itu, walaupun ada laporan yang dibuat kononnya dari Amerika (Syarikat) yang tidak dicabar dan melaporkan 99.9 peratus adalah Anwar, mengapa pendakwaraya tidak mengambil sikap tegas mengatakan bahawa video itu adalah Anwar dan bukan menyerupai. Ada beza menyerupai dan Anwar (sendiri)," tambah beliau.

Malah Shamsul turut berkata, wujud perkara yang meragukan mengenai hubungan Rahim dengan pemimpin tertinggi Umno- Barisan Nasional apabila terdapat maklumat mendakwa Abdul Rahim telah bertemu dengan Perdana Menteri Najib Razak di parlimen baru-baru ini.

"Ini adalah sama seperti konspirasi Saiful Bukhari (Azlan) terlibat kerana beliau dikatakan bertemu dengan Najib dan Rosmah. Jadi sama dari segi corak dan caranya," katanya.

Sehubungan dengan itu beliau menggesa agar Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) menjalankan pendakwaan qazaf keatas ketiga-tiga individu berkenaan memandangkan mereka sudah selesai menjalani hukuman Mahkamah Majistrate.

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009