KUALA LUMPUR 16 MEI : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor dan bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan akan dipanggil sebagai saksi pada perbicaraan liwat fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan depan.
Ketua Pembangkang itu berkata beliau sudah menjangka Hakim Zabidin Mohamad Diah akan mengarahkannya untuk membela diri atas tuduhan itu namun terkejut kerana Zabidin memberi penghakiman seolah-olah beliau sudah pun didapati bersalah,
Dalam memberi keputusan itu pagi tadi, Zabidin menerima sepenuhnya semua bukti pendakwaraya, termasuk keterangan Saiful dan pakar-pakar perubatan dan pegawai polis yang sering bercanggah dan mengelirukan.
Contohnya Saiful mendakwa beliau “dipaksa’ melakukan liwat itu namun mengakui selepas kejadian itu, beliau minum kopi dan makan karipap sebelum pulang ke rumah.
Beliau juga mendakwa tidak membuang air besar selama 48 jam namun doktor yang memeriksanya mendapati dubur Saiful kosong.
Hakim Zabidin bagaimanapun mendapati Saiful seorang saksi yang bercakap benar dan berwibawa.
Zabidin juga bersetuju bahawa sampel-sampel DNA rosak kerana disimpan terlalu lama tetapi menegaskan kerosakkan itu tidak menjejaskan hasil keputusan.
"Saya tidak terkejut dengan keputusan kerana saya tahu sistem kehakiman kita tetapi keputusan itu mengejutkan seolah-olah yang dibuat (hakim) itu hukuman terus. Semua keterangan yang dibawa oleh pendakwa seolah-olah sah.
"Oleh yang demikian kita harus siap membela diri untuk mempertahankan kebenaran kita dan mendedahkan kotor dan jijiknya sistem yang cuba menggunakan mahkamah sebagai alat mainan politik," ujarnya.
"Maka keputusan kita akan memanggil Datuk Najib, Rosmah, Khairul Anas, Mumtaz. Selain daripada keterangan-keterangan perlu untuk dedahkan bagaimana seluruh sistem polis dan pendakwa diperalatkan," tambah Anwar.
Khairul Anas adalah pegawai khas kepada Najib. Mumtaz adalah rakan karib kepada isteri Perdana Menteri. Kedua-dua mereka dilaporkan terbabit dalam mengatur pertemuan antara pengadu Saiful Bukhari Azlan dengan Najib dan Rosmah.
Dalam pada itu Anwar memberitahu media terdapat laporan mengatakan bahawa pihak polis melakukan intimidasi kepada saksi yang bakal dipanggil pada sesi pembelaan Jun nanti.
Hakim Zabidin menetapkan 6 hingga 30 Jun 2011 sebagai tarikh pihak peguambela mengemukakan hujah pembelaan dan memanggil tiga puluh orang saksi yang disenarai pendekkan bagi memberi keterangan.
Ini termasuk pegawai perubatan Hospital Pusrawi, Dr Osman Hamid iaitu individu pertama memeriksa Saiful selain tuan rumah unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Hassanuddin Abdul Hamid yang berada bersama Anwar sepanjang hari kejadian.
Ratusan penyokong Anwar hadir di mahkamah hari ini untuk memberi sokongan kepada Ketua Pembangkang itu. Mereka melaungkan "Reformasi" dan "Bangkit Rakyat" dalam suasana yang mirip kepada kebangkitan gerakan rakyat menolak penindasan apabila Anwar dipecat dari Umno dan kerajaan pada tahun 1998.
Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari, 25, di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan rotan jika sabit kesalahan.
Penyokong-penyokong Anwar tiba seawal jam 4.30 pagi dan berkumpul ke Masjid Kuala Lumpur yang terletak bersebelahan kompleks mahkamah bagi menunjukkan sokongan mereka kepada ketua pembangkang itu.
Mereka juga bersarapan nasi lemak yang berbungkuskan akhbar Utusan Malaysia sebagai protes simbolik mengenai peranan akhbar milik Umno yang didakwa menyiarkan pelbagai fitnah dan pembohongan terhadap Pakatan Rakyat.
Penyokong juga menunaikan solat hajat subuh sebelum beredar ke mahkamah. Ada yang datang sejauh dari kawasan kerusi parlimen Anwar di Permatang Pauh dan terdapat juga beberapa bas yang dari Gopeng, Perak.
Beberapa anggota pemuda PKR membantah tindakan pihak polis yang membuat sekatan jalan ke perkarangan kompleks Mahkamah di Jalan Duta, Kuala Lumpur, pagi ini.
Ratusan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak dapat masuk ke bilik perbicaraan kemudian menyantikan lagu 'ole ole' dengan lirik 'bebas, bebas, bebas, bebas, bebas Anwar, bebas Anwar'.
Mereka juga membawa sepanduk yang tertera "Hapuskan Politik Fitnah", " Rakyat Bangkit Lawan Fitnah" dan mesej-mesej lain yang menuntut keadilan untuk ditegakkan.
Sumber: TVSNEWS
0 comments:
Post a Comment