Kajian saintifik penting dalam proses mencari kebenaran. Itu asas hukum Islam. Namun butir kajian bukanlah untuk dipamer dan dihebahkan. Yang penting selepas kajian empirical dibuat barulah rumusan dijadikan fatwa.
Adab dan prosedur ini amat berbeza sama sekali dengan cadangan filem atau video seks dipertontonkan kononnya untuk mencari kebenaran seperti yang dianjurkan oleh Utusan Malaysia demi membuktikan perbuatan zina berlaku seperti tuduhan yang ditujukan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sudah pasti apabila Imam Shafie menemubual wanita-wanita berkenaan ia dibuat dalam persekitaran yang mengikut hukum syarak dan dengan izin wali dan suami mereka. Dan, sudah pasti pula ini amat berbeza sekali dan tatakrama merumuskan hukum fiqh walaupun kedua-duanya membabitkan seks.
Sesungguhnya syor Utusan ini bukan kaedah atau adab Islam. Bak kata Mufti Perlis Dr Juanda Yahya (kanan) , Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid, bahan mati seperti video tidak boleh dijadikan bukti dalam kes pertuduhan zina.
Kaedah lebih tepat ialah kehadiran empat saksi yang berwibawa yang melihat perbuatan jijik itu dilakukan. Mufti-mufti ini sepakat mengatakan peraturan ini adalah ketetapan Allah. Maka ini bermakna tiada tawar menawar dalam kes seumpama ini. Menentang adab yang ditentukan Allah bererti biadap kepada Ilahi.
Soal maruah
Soal tuduhan zina – tidak kira dengan wanita merdeka, berlainan agama atau kaum – membabitkan soal maruah.
Bayangkan jika dibiarkan gosip tentang hubungan intim hingga menyindir terjadinya perbuatan zina di antara artis dan orang popular seperti ahli politik dibiarkan berleluasa seperti amalan kebanyakan akhbar dan majalah picisan di negara ini, natijahnya ialah ia akan membajai persepsi manusia umumnya bahawa perbuatan zina adalah lumrah.
Runtuhlah sistem sosial jika amalan media Utusan ini tidak ditegur dan ditentang.
Sebab itu, Allah menggariskan khusus apabila membuat penghakiman mengenai tuduhan zina ini.
Perhatikan sikap dan pendirian Rasulullah s.a.w. apabila seorang wanita datang menemui baginda minta dikenakan hukum rejam kerana berzina. Didorong oleh rasa menyesal yang mendalam, wanita berkenaan mahu dan reda dikenakan hukuman mati.
Namun sikap Rasulullah amat penting dijadikan barometer memelihara maruah seseorang insan.
Wanita berkenaan berkata, bukti dia berzina ialah ketika itu dia sudah mengandung. Oleh kerana tiada saksi selain pengakuan wanita berkenaan, Rasulullah menasihatkan beliau pulang hingga melahirkan bayinya.
Setelah melahirkan, wanita berkenaan menemui Rasulullah minta dihukum kerana berzina. Kali ini beliau membawa bayinya untuk jadi bahan bukti perbuatan jeleknya.
Namun Rasulullah mempersoalkan siapakah akan menyusui bayi itu jika beliau dihukum rejam sampai mati. Bagindapun menasihatkan supaya wanita itu pulang dan menyusui bayinya.
Rejam sampai mati
Selang beberapa waktu, wanita berkenaan datang menemui Rasulullah lagi. Kali ini membawa bayinya yang sudah pun boleh memamah roti demi membuktikan bayi itu tidak memerlukan air susunya lagi. Oleh kerana ketegasan wanita yang benar-benar mahu bertaubat, Rasulullah pun menjatuhkan hukum dia direjam sampai mati kerana berzina.
Yang jelasnya, dalam tiga pertemuan itu Rasulullah tidak bertanya wanita itu siapa pasangan zinanya. Mungkin umum berfikir si lelaki terbabit pun patut dihukum. Lantas ia membuktikan doktrin bahawa memelihara maruah adalah amat penting dalam Islam. Soal tuduhan zina atau perkara yang mengaibkan tidak boleh diperpanjangkan.
Sebab itu, mufti-mufti yang bertanggungjawab seperti yang disebutkan sebelum ini memfatwakan video bukan bahan yang boleh dijadikan bukti untuk mensabitkan perbuatan zina.
Ini semangat memelihara kehormatan dalam Islam. Ini semua terzahir daripada ketetapan Allah bahawa tuduhan zina memerlukan empat saksi.
Maknanya, tuduhan melulu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya terhadap sesiapa hanya bersandarkan gosip atau bahan bukti video kabur yang dicuri rakam. Lebih buruk dan jijik lagi jika video itu dirakam untuk tujuan memfitnah.
Soal memelihara maruah ini nampaknya secara sengaja (demi mencapai objektif politik tertentu) dilanggar oleh Utusan dan juak-juak politik yang ingin menjatuhkan Anwar Ibrahim. Yang jelas, tuduhan liar itu membelakangkan syariah dan adab Islam.
Syor Datuk Zaini Hasan (kiri), salah seorang pemimpin akhbar Utusan yang mendabik dada pejuang kepentingan Melayu dan Islam, supaya tayangan penuh video seks 21 minit itu dibuat kepada umum adalah jelas satu sikap yang benar-benar membelakangkan ajaran agama tauhid ini.
Mungkin ini agaknya yang dimaksudkan oleh Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid sebagai unsur yang “amat rendah moralnya”.
Matlamat Utusan dan Zaini serta ahli-ahli politik seperti Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Datuk Shuib Lazim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah (yang masing-masing ada kepentingan peribadi) yang mahu video lucah dipamerkan kepada awam memang benar-benar meloyakan sesiapa yang beriman.
Media rendah moral
Didepani oleh orang media yang “rendah moralnya” mereka ini mahu video lucah dijaja seluas-luasnya ke seluruh pelosok negara untuk mengaibkan Anwar Ibrahim. Kenapa mereka begitu yakin bahawa pelaku video lucah itu Anwar?
Sebenarnya, mereka tidak yakin. Yang mereka yakini ialah jika sekalipun terbukti kelak pelaku itu bukan Anwar, mereka percaya tidak ada tindakan akan diambil ke atas mereka; dan, mereka tidak perlu meminta maaf.
Perkembangan awal isu ini adalah bukti kukuh. Mempamerkan video lucah adalah satu kesalahan menurut undang-undang Malaysia. Sehingga kini tiada tindakan diambil ke atas mereka oleh pihak polis, Peguam Negara mahupun mahkamah.
Mereka tahu, jika isu ini diperpanjangkan jadi bahan perbualan, apa yang mereka sifatkan sebagai kejelekan Anwar yang mereka khuatiri layak jadi Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti, akan memalukan Malaysia.
Namun apa yang sebenarnya mereka sedang lakukan sekarang ialah menyebarkan fitnah dan memburukkan nama baik Malaysia di mata dunia.
Jika mereka memang didorong oleh iman yang tulen, mereka sewajibnya mendesak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan bersikap seperti Rasulullah – jaga maruah insan dengan melaksanakan tuntutan qazaf Anwar dalam kes dakwaan liwat Saiful dan laporan Angkatan Muda Keadilan yang mahu qazaf dikenakan terhadap penjaja fitnah – Rahim, Eskay dan Shuib.
Wira Arjuna adalah seorang editor kanan beberapa media harus perdana sebelum ini dan beliau kini melihat sesuatu berita daripada perspektif berbeza.
Sumber: Malaysiakini
0 comments:
Post a Comment