SIBU 5 APRIL : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran bahawa Barisan Nasional akan cuba memecahkan undi pembangkang dengan menaja calon bebas dan parti-parti kecil menjelang hari penamaan calon pilihanraya negeri Sarawak esok.
Sehubungan itu, Pakatan Rakyat tidak akan mengalih tumpuan daripada misi menamatkan pemerintahan rasuah BN di bawah Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, tegas beliau.
“Ada usaha sekarang untuk menonjolkan beberapa tokoh bebas, parti-parti kecil dengan maksud pecahkan undi pembangkang dan Pakatan Rakyat,” kata Anwar.
“Jadi kita harus waspada, kita lawan dengan Barisan Nasional tetapi Barisan Nasional akan juga gunakan kekuatan untuk pecahkan kekuatan melalui kalangan yang serpihan ini,” tegas Anwar.
“Kita juga harus waspada kerana di Sarawak kekuatan wang dan dana Barisan Nasional itu cukup mudah memukau orang (pada masa lalu). Dia tak perlu bomoh, dia guna hanya wang. Sebab itu calon yang hendak diketengahkan mesti calon yang cukup wibawa, yang tidak akan khianat,” tegas beliau.
Mengenai rundingan antara Parti Keadilan Rakyat dan SNAP yang gagal bersetuju atas pengagihan kerusi dalam menghadapi BN, Anwar berkata PKR dan Pakatan telah mengamalkan sikap terbuka sepanjang rundingan berjalan.
“Berulang kali kita runding dari peringkat negeri diketuai Baru Bian sehingga peringkat nasional diketuai oleh Azmin dan Tian Chua. Kita mengambil pendekatan yang cukup lunak beri kerjasama, dengar, sanggup bertolak ansur dalam apa-apa pertimbangan. Apa yang kita tidak boleh ansur ialah prinsip perjuangan,” kata Anwar.
Anwar berkata rundingan itu gagal kerana SNAP secara tiba-tiba membuat desakan untuk diberikan jumlah kerusi yang banyak, malah menyerang PKR apabila tuntutan itu tidak dipenuhi serta merta.
“SNAP dulu hanya minta jumlah kerusi yang cukup kecil, mulanya sekitar enam dan akhirnya tandatangan persefahaman di antara SNAP dan KEADILAN di mana mereka pertahankan tiga kerusi dan nak runding tiga kerusi tambahan,’ kata Anwar.
“Tetapi tak semena-mena beberapa minggu yang lalu jumlah itu telah meningkat mendadak. Itu menimbulkan kerisauan kita apa sebab peningkatan itu mendadak. Walau bagaimanapun kita masih meneruskan rundingan sehingga beberapa hari yang lalu bila SNAP dengan kasar dan dibantu oleh media Barisan Nasional diberikan laluan yang cukup luas untuk menyerang Parti Keadilan Rakyat,” tambah beliau.
Anwar menegaskan PKR dan Pakatan Rakyat masih terbuka kepada rundingan tetapi tidak akan berkompromi dengan perjuangan untuk membebaskan rakyat Sarawak daripada pemerintahan rasuah.
“Program kita dalam buku jingga baik di peringkat nasional atau di peringkat Sarawak iaitu soal tanah adat, soal nasib pekerja, soal pengambilan tanah dan kawasan balak oleh syarikat keluarga dan kroni menjadi tumpuan utamadan mengatasi isu-isu titik bengit,” kata Anwar.
Sumber: TVSNEWS
0 comments:
Post a Comment