KUALA LUMPUR 5 APRIL : Kesal dengan tindakan polis yang gagal mengambil tindakan tegas bersabit fitnah video lucah, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan mahkamah ke atas dalang rakaman itu.
"Sebagai kerajaan (Selangor), kita akan memantau perkara ini dan jika perlu kita akan ambil tindakan untuk bawa ke mahkamah," ujar beliau pada sidang akhbar bersama anggota keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur.
Khalid berkata, ketulenan video lucah berkenaan bukan menjadi isu utama sebaliknya ketelusan siasatan polis yang dipersoalkan.
"Kita tidak mahu tahu ia tulen atau tidak? (Pokoknya) adakah polis membuat siasatan atas dasar ketulenan video tersebut? Ada banyak perkara penting," kata Khalid yang turut menolak rakaman video itu sebagai fitnah licik untuk menjatuhkan Anwar.
Polis setakat ini hanya mengesahkan video 21 minit yang ditayangkan tiga Datuk T adalah tulen namun tidak mengulas persoalan pokok iaitu sama ada pelakunya adalah Anwar.
Adalah difahamkan polis juga tidak menyoal beberapa pihak yang dapat mengesahkan pergerakan Anwar pada 21 Febuari, tarikh video itu dikatakan dirakam di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Sharzyl Eskay dan Bendahari Perkasa Shuib Lazim mengaku mendalangi penayangn video berkenaak kepada media namun polis tidak mengambil tindakan menahan mereka.
Tan Sri Khalid melahirkan rasa kesal kerana politik negara diheret ke arah yang jijik dengan penggunaan video lucah fitnah untuk menjatuhkan seseorang.
"Fokus kita harus kepada penjanaan sektor ekonomi negara dan bukan politik jijik yang tidak tentu hala sehingga negara ditertawakan oleh masyarakat antarabangsa.' kata beliau.
Justeru Khalid menggesa rakyat untuk bangkit menentang taktik kotor Umno-Barisan Nasional (BN) yang merendahkan martabat negara.
"Bagaimana kita hendak memastikan supaya ekonomi dan harta negara diutamakan dan bukan perkara jijik yang diketawakan (oleh dunia) dan membawa kesedihan kepada kita semua. Oleh sebab itu saya bersama keluarga Anwar harap rakyat faham dan mengutuk mereka yang melakukan perkara ini. Tindakan membiarkan dan ada kalanya menggalakkan penayangan video (lucah yang (fitnah) adalah perbuatan jijik dan merendahkan kewibawaan Malaysia," ujar Khalid.
Sumber: TVSNEWS
0 comments:
Post a Comment