PETALING JAYA 22 APRIL : Hasrat Yayasan Selangor (YS) untuk menubuhkan sekolah berasrama penuh di Selangor ditolak oleh Kementerian Pelajaran atas alasan politik, kata Pengurus Besarnya, Ilham Marzuki.
Menurut Ilham, projek berkenaan ditolak oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana yayasan itu berada di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.
Ilham ketika menjelaskan hal itu kepada Tv Selangor berkata, Yayasan Selangor sebelum ini memperuntukkan sebidang tanah berkeluasan 30 ekar di Ijok dengan kos pembinaan sebanyak RM50 juta bagi tujuan tersebut, namun siri pertemuan yang diadakan dengan Kementerian Pelajaran tidak membuahkan hasil.
Projek berkenaan kata Ilham ditolak oleh kementerian di bawah Timbalan Perdana Menteri itu.
“Saya tanya dia apa sebab tak bagi, sudah 10 bulan kita memohon tetapi tidak ada jawapan bertulis sama ada iya atau tidak. Sejak bulan Mei dulu, adalah panggil mesyuarat sebanyak tiga kali, minit mesyuarat tidak ada. Saya percaya permohonan kami ini telah dipolitikkan. Dan kita dukacita kerana kita sebenarnya tidak ada agenda politik, ia semata-mata untuk kepentingan akademik pelajar," katanya ketika dihubungi Tv Selangor.
Menurut Ilham, Yayasan Selangor merupakan satu-satunya yayasan yang mengambil tanggungjawab untuk mendirikan sekolah dan diserahkan operasinya kepada kementerian dalam memastikan aspek pendidikan di Selangor terus berkembang pesat.
“Tidak ada Yayasan lain, kita adalah yang pertama. Tidak ada yayasan yang keluarkan duit untuk bina sekolah dan diserah operasinya kepada Kementerian Pelajaran sebelum ini," jelasnya lagi.
Selain pembinaan sekolah berasrama penuh di Ijok, pihak yayasan juga katanya bercadang membina 8 lagi sekolah berasrama penuh di seluruh Selangor.
Pembinaan sekolah berasrama penuh di Selangor katanya adalah langkah proaktif Yayasan Selangor dalam memberikan pendidikan sempura kepada pelajar-pelajar
yang memerlukan.
Jelas Ilham lagi, selama ini Yayasan Selangor menyediakan kemudahan asrama dan perkhimatan bas kepada pelajar-peajar di bawah naungannya di mana mereka belajar di beberapa sekolah terpilih di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Menyentuh mengenai alternatif sekolah berasrama itu akan diteruskan, katanya jika ia gagal mendapat kelulusan dari kerajaan, ia akan menjadi sekolah swasta.
“Kita nak buat sekolah berasrama penuh, kita hendak maju ke depan tapi orang Kementerian tidak berpandangan begitu, mereka suruh kita duduk pada tahap lama,itu yang membuatkan saya kecewa.
"Jadi saya percaya benda ini dipolitikkan. Sebab ini cadangan yang baik, cuba kita keluar dari politik,"katanya lagi.
Sumber: TVSNEWS
0 comments:
Post a Comment