Arkib Blog

Thursday, March 24, 2011

Isu video seks menjelang pilihan raya S'wak


Tindakan sekumpulan individu bergelar 'Datuk T' menjemput wakil media untuk menyaksikan satu video aksi lucah pada Isnin lalu merupakan satu usaha nekad.

Trio 'Datuk T' yang bertanggungjawab menganjurkan tayangan video itu mendakwa, individu yang ditunjukkan dalam video itu merupakan seorang tokoh pembangkang.

Selang beberapa jam selepas itu, ketua umum PKR, Datuk Seri AnwarIbrahim mengadakan sidang media dan turut membuat laporan polis berhubung penayangan video berkenaan.

Tindakan itu membentuk persepsi bahawa beliau merupakan tokoh pembangkang yang dimaksudkan dalam rakaman tersebut.

Dalam pada itu, menteri dalam negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan perdana menteri sendiri telah menafikan penglibatan pihak polis dalam isu berkenaan.

Namun, siasatan wajar diteruskan memandangkan laporan polis telah dibuat. Maka, Anwar berhadapan dengan satu lagi kes baru di mahkamah, selain perbicaraan Liwat II yang masih berjalan.

Apa yang menarik, isu ini mula timbul di ambang pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya umum ke-13 yang bakal menjelang.

Pilihan raya Sarawak amat penting kerana ia merupakan kayu pengukur bagi sokongan rakyat kepada BN.

Dalam pilihan raya Mac 2008, negeri itu berjaya menyumbangkan 30 kerusi daripada keseluruhan 138 kerusi parlimen yang dimenangi BN dan seterusnya membolehkan parti itu membentuk kerajaan.

Anwar akan dihalang daripada menemui rakyat dalam kempen pilihan raya kali ini sekiranya terpaksa menghadapi perbicaraan demi perbicaraan.

Isu melibatkan ketua menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dikhuatiri akan ditenggelamkan oleh isu sensasi berhubung video seks yang didakwa melibatkan Anwar.

Maka, cerita dan bahan kempen membabitkan Anwar akan bertambah dan perkara inilah yang akan disampaikan kepada orang Sarawak.

Perkembangan ini akan menyebabkan isu yang didakwa melibatkan Abdul Taib dan keluarga – seperti isu pencerobohan tanah adat – tidak akan mendapat perhatian.

Begitu juga isu lain yang berkait dengan masyarakat Sarawak, seperti kontroversi mengenai penyebaran kitab Injil dalam bahasaMelayu dan tuntutan Gereja Roman Katolik ke atas kalimah Allah.

Selain itu, Pakatan Rakyat juga dijangka akan membangkitkan isu kemiskinan rakyat Sarawak dan isu isu royalti minyak yang sepatutnya diperolehi negeri tersebut.

Jentera BN akan berdepan kesukaran untuk menyangkal isu-isu ini sekiranya digunakan dalam kempen Pakatan Rakyat.

Begitu juga dengan isu berhubung rancangan kerajaan untuk membina loji janakuasa nuklear yang menerima banyak tentangan.

Isu pita video tersebut boleh menjadikan senjata yang mudah untuk meredakan tekanan ke atas rancangan berkenaan.

Isu lain yang menjadi perhatian termasuk kenaikan kos sara hidup rakyat, kenaikan harga barang keperluan dan juga kontroversi berhubung saman ekor.

Apa pun, Anwar kini menjadi semakin 'laris' dan menjadi tatapan utama di media.



Sumber: Malaysiakini

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009