Arkib Blog

Monday, March 7, 2011

IDEAS : Keputusan PRK Bukan Jaminan Menang PRU


SHAH ALAM 7 MAC : Peratusan keluar mengundi yang tinggi dan kemenangan besar Barisan Nasional pada piliharaya kecil (PRK) Kerdau dan Merlimau tidak menjanjikan kedudukan yang selesa kepada parti itu pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Apatah lagi, BN kini baru sahaja berjaya menyamakan kedudukan 8-8 dengan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil yang diadakan selepas tsunami politik 2008 dengan menggunakan keseluruhan jentera kerajaan yang ada.

Ketua Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan yang dihubungi TV Selangor berkata, PRK tidak boleh dijadikan penanda aras untuk menentukan gelombang rakyat pada sesuatu pilihanraya umum.

“Saya rasa kita tak patut bezakan antara PRK dengan PRU. Dalam PRK, semua jentera akan turun untuk berkempen. Dalam PRU, jentera terpaksa dibahagi-bahagikan. Walaupun majoriti pengundi naik kali ini, tetapi masih terlalu awal untuk katakan ia akan mempengaruhi keputusan-keputusan akan datang,"katanya ketika diminta mengulas keputusan pilihanraya kecil di Kerdau dan Merlimau semalam.

Menurut beliau, kemenangan BN pada kedua-dua pilihanraya kecil yang sememangnya kubu kuat parti itu memang sudah diramalkan.

Walau bagaimanapun, seperti kebiasaannya pilihanraya kecil sering kali dicemari dengan gula-gula politik Umno BN, malah kali ini ditambah pula dengan budaya samseng.

Di Merlimau kereta penyokong yang hadir mendengar ceramah Pakatan Rakyat dipecahkan. Sementara di Kerdau golongan tertentu membaling batu kenderan yang dinaiki Anwar Ibrahim.

Segala perlakuan itu diselang seli dengan kempen Umno yang berpaksi kepada projek-projek mi segera dan ceramah yang menyerang keperibadian pemimpin PR.

Selain itu, beliau menegaskan pengaruh BN yang besar sebagai kerajaan persekutuan adalah antara faktor yang mempengaruhi keputusan undian dalam pilihan raya
tersebut.

“Saya rasa di kedua-dua kawasan yang paling jelas ialah ia kubu kuat BN. Jadi, kemenangan itu adalah bukan sesuatu yang pelik. Peningkatan yang besar adalah disebabkan kempen daripada pimpinan tertinggi yang bersungguh-sungguh dan tersusun. Bagaimanapun, saya kesal kerana isu-isu Felda dan janji-janji yang ditaburkan itu adalah pengaruh besar yang memastikan majoriti naik sampai begitu sekali,"katanya lagi.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut menjelaskan, janji-janji serta strategi yang dilaksanakan BN memainkan peranan penting sehingga menyukarkan laluan Pakatan

Rakyat untuk meraih kemenangan di kedua-dua kawasan tersebut.

Ujarnya, sikap rakyat yang terlalu memandang kepada janji-janji manis yang belum pasti dari Umno-BN juga begitu menyedihkan.

Justeru ujarnya, dalam hal ini Pakatan Rakyat wajar mengubah strategi bagi tujuan meraih undi rakyat.

“Saya rasa sudah sampai masanya untuk kita melihat peratusan pengundi tanpa mengira kaum. Kita perlu melangkah ke depan dan fikirkan bagaimana untuk menawan hati pengundi tanpa mengira kaum dan agama,"tambahnya lagi.

Barisan Nasional menang di DUN Merlimau dengan majoriti 3,643 undi. Calon BN, Roslan Ahmad memperolehi 5,962 undi, manakala calon PAS, Yuhaizad Abdullah memperolehi 2,319 undi.

Sementara itu bagi PRK DUN Kerdau, BN turut menang besar dengan majoriti 2,724 undi.

Calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad memperolehi 5,060 undi, menewaskan calon PAS yang mendapat 2,336 undi.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009