Arkib Blog

Monday, February 7, 2011

Pemuda Melaka tekad tawan Merlimau

JASIN, 7 Feb: Pimpinan dan ahli Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka bertekad untuk menawan Merlimau pada pilihan raya kecil (PRK) Dun itu yang dijadualkan pada 6 Mac ini.

Hasrat itu dinyatakan sendiri oleh Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Kamaruddin Sidek pada Himpunan Pemuda PAS Melaka sempena PRK Dun Merlimau yang berlangsung di Madrasah As-Solihin, Merlimau di sini semalam.

"Pemuda Negeri Melaka akan berjuang habis-habisan bagi menggempur BN dan menerangkan kepada rakyat akan kepentingan mereka mengundi calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada pilihanraya kecil ini, insya Allah.

"Sudah sampai masanya PAS menjadi penasihat yang baik kepada kerajaan negeri Melaka pimpinan Umno yang nyata gagal mentadbir dan menjaga kepentingan umat Islam di Melaka," ujarnya.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman dalam ucapannya menggesa pemuda supaya bekerja kuat bagi memenangkan calon Pakatan Rakyat pada pilihanraya kecil ini.

"Pemuda mesti turun ke segenap ceruk berjumpa dengan pengundi agar risalah Islam ini dapat disampaikan kepada mereka.

"Umat Islam Melaka mesti diselamatkan dari cengkaman dan kezaliman Umno yang bermaharajalela sejak lebih 50 tahun di Melaka ini.

“Insya Allah, PAS mesti menang supaya suara kita dapat berkemundang di Dun Melaka bagi memberi peringatan dan nasihat kepada Umno," tambahnya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Program itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shafawi Abdul Rani.

Dalam ucapannya Azman mengingatkan ahli pemuda PAS Melaka supaya berjuang dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh kerana cabaran amat getir kepada PAS dan Pakatan Rakyat di kubu kuat BN.

"Pemuda Pusat seperti biasa akan mengarahkan seluruh jentera pemuda seluruh negara bagi membantu calon PAS di Merlimau, kita tidak akan undur dan akan terus mara walau apapun dugaan yang datang," kata Azman penuh semangat.

Azman diberi penghormatan menyampaikan bendera PAS kepada semua Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan sebagai simbolik bermulanya gerak kerja pemuda di Dun Merlimau.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, seluruh pimpinan PAS negeri dan pemuda negeri.

Program tersebut turut diserikan dengan lagu-lagu nasyid penuh semangat daripada Azhan Atan.



Sumber: Harakah Daily

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009