Arkib Blog

Monday, February 7, 2011

Kenapa Najib Terpaksa Guna Khidmat APCO Worldwide


KOMENTAR : Najib Razak mungkin telah melakukan kesilapan besar. Jika beliau tidak menggunakan khidmat APCO Worldwide untuk menaikkan imej beliau dan partinya, mungkin polemik beliau menggunakan khidmat perunding yang ada hubungkait dengan Zionisme itu tidak timbul. Beliau juga pasti dapat menyelamatkan sekurang-kurangnya RM77 juta wang rakyat mengalir keluar Negara.

Itu akibatnya jika tidak berfikir semasak-masaknya sebelum bertindak. Jika Najib berusaha untuk menilai keupayaan tenaga komunikasi profesional tempatan mungkin beliau akan akur bahawa APCO tidak sehebat mana. Malah APCO ternyata menjadi liabiliti kepada beliau dan parti pimpinannya.

Jika Najib perhatikan kemampuan sumber dalam negara, mungkin beliau akan dapat menyandarkan bukan sahaja strategi menjaga imej beliau dan partinya, malah akan dapat nasihat pakar perunding strategi politik yang ampuh dan faham keunikan politik Malaysia. Namun ini semua tidak berlaku kerana Najib mungkin masih mengkagumi kepandaian orang asing. Maklumlah beliau lebih banyak habiskan masa belajar di luar negara.

Dalam Negara pun banyak bakat yang boleh memberi input politik pada Najib. Cuma mungkin Najib tidak rajin membaca akhbar tempatan. Jika tidak, tentu beliau sudah temui pakar perunding yang sudah berabad lama digunakan oleh pemimpin-pemimpin Melayu sebelumnya. Jika dia meneliti saranan politik dibuat oleh akhbar Utusan yang diwarnai oleh penulis yang menggunakan nama samaran Awang Selamat, tentu Najib tidak gusar hadapi pilihanraya umum ke-13 nanti.

Tulisan Awang dalam Mingguan Malaysia, membentangkan strategi komprehensif bukan sahaja untuk mengisi kepentingan Umno-BN dan Najib, malah ia boleh menjadi pelan induk untuk gerakan parti pembangkang - Pakatan Rakyat sekaligus.

Betapa hebatnya Awang Selamat boleh dinilai daripada tulisan 6 Februari lalu. Cuma dengan satu tulisan, Awang dapat menghuraikan masalah yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat. Beliau mencadangkan supaya Anwar Ibrahim beralih ke tepi dan beri laluan kepada Hadi Awang untuk memimpin Pakatan Rakyat. Kata Awang, sokongan kepada Pakatan Rakyat sekarang semakin merosot sekarang kerana Anwar dan Nik Aziz. Setiap kali kedua-dua pemimpin ini buka mulut, lebih ramai orang akan menarik sokongan mereka untuk Pakatan Rakyat.

Begitu yakin Awang dengan pendiriannya hingga berani menyimpulkan, orang Melayu akan sokong Pakatan jika Haji Hadi yang memimpin. Mengkagumkan!

Kalau Najib sejak awal menjadi Perdana Menteri lagi sudah merujuk kepada Awang Selamat untuk merungkai cabaran politik yang beliau hadapi, tentu mudah baginya menyahut cabaran Pakatan Rakyat.

Betapa tidaknya, Awang mempunyai formula bagaimana hendak menyatupadukan orang Melayu, khususnya. Awang yakin Melayu cuma boleh bersatu jika Umno dan PAS bekerjasama dalam politik. Tidak kiralah jika ia dinamakan kerajaan campuran atau apapun.

Namun Awang mengesan usaha ini tidak mungkin berhasil jika masih ada penentang dari dalam dan luar PAS terhadap usaha ini. Maka dinamakannyalah Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am Pas dan Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat sebagai penentang idea Melayu bersatu itu.

Hujjah Awang, jika Hadi yang memimpin Pakatan Rakyat, undi Melayu pasti akan mengalir sama ada kepada Umno atau pun PAS. Dan, jika Umno dan PAS bekerjasama, undi Melayu akan utuh dalam dua jemaah yang mempunyai tujuan yang sama - perpaduan Melayu. Selagi ada Anwar dan Nik Aziz, kerjasama itu tidak mungkin jadi kenyataan.

Memang bijak Awang. Dia ada strategi politik tersendiri. Malah ini adalah lebih baik daripada strategi Dr Mahathir yang mahu pencinta perpaduan Melayu "ketuk sahaja kepala Anwar dan Nik Aziz" kerana jadi penghalang perpaduan Melayu. Beza pendekatan Awang dengan Dr Mahathir ialah mantan presiden Umno ini kurang sabar; beliau mahu guna cara kekerasan. Awang lebih sopan - ketepikan Anwar dan Nik Aziz dalam Pakatan Rakyat, orang Melayu akan bersatu.

Mungkin ini bukan pertama kali Najib mendengar syor seperti ini. Mungkin juga itulah sebabnya Najib terpaksa menggunakan khidmat APCO sebab idea Awang ini kurang cerdik . ini kerana idea itu cuma boleh digerakkan oleh Pakatan Rakyat sendiri. Soalnya, tidak mungkin DAP dan pemimpin-pemimpin PAS dan PKR begitu dangkal hendak mendengar dan melaksanakan idea Awang. Ini kerana mereka insaf bahawa pakatan itu wujud kerana pengaruh dan kepemimpinan Anwar dan Nik Aziz.

Mungkin Najib merumuskan jika Awang dan akhbar Utusannya gagal meyakinkan pembacanya akan kebijaksanaan barisan editor dan penulis seperti Awang dengan dalil jualan akhbar berkenaan semakin merosot, bagaimana beliau boleh percaya kepada idea usang Awang itu?

Tambahan pula, idea Awang ini salin tak tumpah dengan idea Dr Mahathir. Apapun Najib yakin dia adalah perdana menteri bukan Dr Mahathir lagi. Oleh itu, mengapa perlu ia mendengar cakap Awang atau Dr Mahathir? Lebih baik dengar cakap APCO; jika ideanya kurang bernas pun, ia adalah syarikat perunding antarabangsa berbanding Utusan akhbar kampungan yang semakin merosot pengaruhnya.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009