Arkib Blog

Sunday, February 27, 2011

Merlimau: PAS sandar Bob Lokman tarik pengundi Melayu


JASIN, 27 Feb — PAS tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu dengan menggunakan pengaruh pelakon, pelawak dan penulis lirik Bob Lokman, yang menyertai parti Islam itu awal minggu lalu, dalam kempen kerusi Merlimau.

Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman telah menyertai PAS pada 19 Februari lalu.

Dalam ceramah pertamanya di Merlimau Pasir di sini malam tadi, ketibaan Bob Lokman disambut meriah kira-kira 500 orang.

“Hari ini menjadi sejarah apabila saya menyertai PAS selepas pada 2004 dan 2008 merupakan satu usaha yang sia-sia saya membantu Barisan Nasional (BN).

“Sebagai orang yang bertanggungjawab kepada negara saya berada di landasan benar bersama PAS,” kata Bob Lokman.

Penulis lirik “Isabella” itu berkata pengundi-pengundi di Merlimau harus menolak kerajaan BN yang tidak “mengiktiraf” Islam dalam pentadbiran negara.

Beliau juga yakin PAS boleh mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 6 Mac ini.

“Kita perlu undurkan kerajaan yang sudah lama bertapak, kerajaan yang tidak iktiraf Malaysia sebagai negara Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad berkata, jika Bob Lokman boleh melakukan perubahan dengan memilih PAS mengapa tidak pengundi di Merlimau.

“Dulu beliau (Bob Lokman) sokong Umno-BN tapi sekarang boleh sokong PAS pula.

“Nanti bila tiba hari pengundian kalau nak pangkah Umno, ingatlah Bob Lokman dan pangkah PAS,” katanya.

PAS meletakkan Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka Yuhaizat Abdullah sebagai calon manakala BN mempertaruhkan ahli jawatankuasa Umno Jasin Roslan Ahmad untuk mempertahankan kerusi DUN Merlimau.

Pakatan Rakyat dilihat berhadapan dengan situasi kemerosotan undi orang Melayu sejak Julai 2009 di mana pada pilihan raya kecil DUN Manek urai di Kelantan, yang pengundinya 99 peratus orang Melayu, PAS hanya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 65 undi berbanding 1,352 pada Mac 2008.

Sementara itu, calon PAS Yuhaizat Abdullah berkata pengundi di DUN Merlimau perlu membuat keputusan bijak dengan memilih seorang wakil rakyat yang boleh memperjuangkan nasib rakyat.

“Pilihan raya bukan masa untuk buat jalan raya, pilihan raya bukan masa untuk betulkan atap rumah, pilihan raya bukan masa untuk perbaiki longkang, pilihan raya juga bukan masa untuk menabur janji kosong.

“Tapi sistem untuk pilih wakil rakyat yang memahami kehendak rakyat, BN sedar betapa besar kuasa rakyat sebab itu pelbagai projek dibawa ke Merlimau,” katanya.

Yuhaizat, Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin berkata beliau sentiasa bersiap sedia untuk memberikan khidmat terbaik kepada penduduk Merlimau.

“Saya merayu untuk berikan undi dan kepercayaan kepada saya di Merlimau, saya janji dan akan sentiasa bersiap sedia untuk memberikan khidmat serta memahami masalah rakyat,” katanya.

Yuhaizat akan berdepan calon BN Roslan Ahmad, ahli jawatankuasa Umno Jasin.



Sumber: Malaysian Insider

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009