Arkib Blog

Tuesday, February 22, 2011

Ali Rustam Takut Kegagalan Sendiri, Kata Shamsul


SHAH ALAM 22 FEB : Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilihat berada dalam keadaan bimbang apabila isu-isu pembangunan setempat yang gagal dilaksanakannya, diulas semula oleh PAS dan Pakatan Rakyat dalam siri kempen pilihan raya Dewan Undangan Negeri Merlimau.

Kebimbangan itu menurut Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Melaka, Shamsul Iskandar Md Akin lahir setelah menyedari kempen-kempen yang didakwa "lapuk" oleh beliau akan memecahkan tembelangnya yang telah membazirkan wang rakyat.

" Pada saya Datuk Seri Ali cuba mengalihkan perhatian rakyat dengan memperkecilkan isu ini walhal ianya sebahagian daripada konsep pembangunan yang cuba ditonjolkan oleh Datuk Seri Ali termasuk pembangunan ini yang kita khuatiri akan menyebabkan masalah pembaziran, tentunya akan membebankan rakyat Melaka untuk masa yang panjang,"kata Shamsul.

Semalam Ali Rustam membidas PAS yang kononnya dikatakan membuat tuduhan tidak berasas untuk meraih perhatian pengundi.

Menurut Ali, isu pembaziran wang rakyat kerana membiayai projek mega adalah isu lapuk.

Namun menurut Shamsul, Ali perlu sedar bahawa PAS mahupun Pakatan Rakyat mempunyai pendirian yang jelas berhubung isu pembaziran dana awam ini dan Ali harus menjawabnya.

" Ianya bukan isu lapuk, yang perlu dijelaskan oleh Datuk Seri Ali ialah kenapa perkara-perkara dan projek yang dibangunkan ini tidak boleh memberikan manfaatkan yang sewajarnya kepada rakyat," jelas Shamsul kepada Tv Selangor.

Menurut Shamsul, isu-isu seperti pembinaan litar go-kart di Durian Tunggal, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (MIA) yang dianggap sebagai `gajah putih’ dan penarikan balik Eye On Malaysia atau roda gergasi oleh pemiliknya dari Belgium, memang ada asasnya.

Dalam hal ini katanya, kerajaan seharusnya membangunkan projek-projek yang memberikan manfaat kepada rakyat.

" Sebahagian wang digunakan untuk membangunkan projek-projek yang kononnya untuk menarik pelancong tetapi kemudiannya tidak boleh dimanfaatkan oleh rakyat Melaka. Ini yang menjadi persoalan atau pun isu utama yang sepatutnya dijawab oleh Datuk Seri Ali Rustam. Bukan mengkesampingkan isu ini dan mengatakan ia isu yang lama.

" Pembaziran bukan isu lama tetapi pembaziran adalah isu pokok dalam soal pengurusan negeri. Apatah lagi ini bukan melibatkan satu projek tetapi banyak projek yang telah dilaksanakan tetapi tidak memberikan manfaat kepada rakyat Melaka," tambah Shamsul lagi.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009