KUALA LUMPUR 20 JAN : Pakatan Rakyat akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 24 Januari ini untuk membincangkan beberapa isu pilihan raya seperti undi proksi , undi pos, pendaftaran secara automatik dan kedudukan persempadanan semula.
"Pertemuan itu akan diadakan di ibu pejabat SPR di Putrajaya selepas kami mengemukakan permohonan pada 17 Disember lalu dan dipersetujui SPR," kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali kepada para pemberita dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu di sini petang semalam.
Menurut Mustafa, dalam pertemuan itu, PAS akan diwakili Pengarah Pilihan Rayanya Datuk Halim Abdul Rahman serta dirinya sendiri manakala PKR akan diwakili Naib Presidennya Fuziah Salleh serta Ahli Parlimen Subang R Sivarasa.
Sementara DAP pula diwakili Ketua Pemudanya Anthony Loke Siew Fook serta Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong."Bagi pihak SPR, ahli jawatankuasa tertinggi termasuk pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan turut serta dalam pertemuan itu," katanya.
Mengenai undi proksi, Mustafa berkata PR sepakat menolak kaedah ini kerana jelas bertentangan dengan konsep demokrasi memandangkan individu yang menjadi wakil itu akan dikhuatiri akan menyalahgunakan hak pengundi sekaligus menghapuskan hak kerahsiaan seseorang pengundi berdaftar.'
"Kita bimbang bukan orang sebenar yang akan melakukannya tetapi orang upahan yang akan mengundi. Ini semacam hendak 'menghalalkan' undi hantu. Sudah nampak ada niat sesuatu di situ walaupun SPR menegaskan undi proksi hanya satu cadangan," katanya.
Selain itu, Mustafa berkata dalam pertemuan itu PR juga mahu mendapat penjelasan tentang isu pengundi pos terutamanya wujud cadangan yang mahu mewujudkan kem tentera di setiap kawasan parlimen seperti yang pernah dinyatakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata jika benar kem tentera wujud di setiap kawasan parlimen, pihaknya bimbang Barisan Nasional (BN) akan memanipulasinya memandangkan undi pos dijadikan BN sebagai 'deposit tetap' setiap kali pilihan raya berlaku.
"Ada bukti soal undi ini pernah dimanipulasi dan perlu diberi perhatian oleh SPR. Adakah dengan kewujudan kem tentera ini akan jadi pengundi pos atau undi biasa kita tidak tahu. SPR perlu menggariskan isu ini dengan jelas," katanya.
Dalam masa yang sama, Mustafa berkata pihaknya juga akan membangkitkan tentang kedudukan persempadanan semula yang sudah habis lapan tahun tempohnya sejak kali terakhir diadakan pada tahun 2003.
"Kita mahu tahu sama ada persempadanan semula ini akan ada pertambahan atau pengurangan kerusi (Dun dan Parlimen) bagi setiap negeri. Jika ada pertambahan kerusi, maka perkara ini harus dibawa ke Parlimen untuk mendapat sokongan dua pertiga majoriti undi," katanya.
Sumber: TVSNEWS
0 comments:
Post a Comment