AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Friday, December 17, 2010

Saya Tidak Sentuh Kandungan Surat Apco- Azmin


PETALING JAYA 17 DIS : Tindakan Dewan Rakyat menggantung empat ahli parlimen pembangkang membuktikan kerakusan dan kuasa melampau Umno-Barisan Nasional(BN).

Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali dalam kenyataan medianya hari ini berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sewaktu mencadangkan usul penggantungan menyebut bahawa beliau melanggar Peraturan Mesyuarat 85.

Peraturan Mesyuarat 85 ialah keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh siapa jua sebelum panel itu membentangkan laporannya.

"Namun begitu saya tidak menyentuh kandungan surat daripada Apco Worldwide yang dikemukakan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada 3 Disember 2010 dalam pemberitahuan surat saya kepada Yang Di-Pertua bertarikh 16 Disember 2010," jelas Azmin.

Menurut Azmin dalam surat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1), beliau telah memohon mencadangkan supaya Dewan Rakyat membincangkan perjalanan mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada 3 Disember yang membuat keputusan menafikan hak Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Ketua Pembangkang menghadiri prosiding mesyuarat berkenaan.

"Sehubungan dengan itu, alasan yang diberikan oleh Datuk Seri Nazri yang mencadangkan untuk menggantung saya daripada Dewan tidak boleh digunapakai kerana tidak pernah menyiarkan kandungan surat Apco tersebut kepada sesiapapun ataupun sewaktu berbahas dalam Dewan.

"Isu Apco telah berkali-kali dibangkitkan dalam parlimen yang membawa implikasi kepada kepentingan dan keselamatan negara. Apa salahnya sebagai seorang ahli parlimen yang dipilih rakyat, saya membangkitkan urusan yang berkaitan dengan kepentingan dan keselamatan negara?," soal Azmin lagi.

Justeru ujarnya, jelas sekali penggantungan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh, Ahli Parlimen Subang,Sivarasa Rasiah dan dirinya tidak ada asas sama sekali serta tidak mengikut prosedur parlimen.

"Saya dan rakan-rakan dalam PKR dan Pakatan Rakyat berpendapat bahawa tindakan Dewan Rakyat ini merupakan tindakan yang bermotifkan politik dan bertujuan mengurangkan suara Pakatan Rakyat di dalam Dewan," tambah Azmin lagi.

Ini katanya suatu tamparan kepada pembangunan demokrasi dan keluhuran undang-undang dalam negara oleh pemerintahnya sendiri.

Ekoran itu, beliau yakin rakyat sentiasa menilai tindak tanduk Umno-BN yang jauh menyimpang dan tidak menghormati integriti institusi parlimen lalu menumbangkan kerajaan korup lagi rakus itu.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009